Australia sememangnya menjadi lokasi pilihan pendidikan tinggi luar negara rakyat Malaysia sejak daripada pelaksanaan Rancangan Colombo yang pertama lagi.

Ia disokong faktor kualiti pendidikan serta kedudukan geografi Australia yang lebih dekat dengan Malaysia berbanding destinasi lain seperti Amerika Syarikat dan United Kingdom.

Malah tidak hairanlah sehingga kini ada lebih 200,000 alumni universiti Australia di Malaysia, dan dianggarkan 20,000 sedang menuntut di sana.

Kerjasama pendidikan dua hala ini juga sudah memasuki fasa baharu bila tiga buah universiti Australia membuka kampusnya di Malaysia iaitu Universiti Monash, Universiti Curtin dan Universiti Teknologi Swinburne.

Kini hubungan itu dibawa ke satu dimensi yang berbeza apabila Perdana Menteri Australia, Tony Abbott yang melawat Malaysia pada Sabtu, mengumumkan Rancangan Colombo Baharu yang bakal menyaksikan ribuan pelajar Australia akan ke Malaysia untuk melanjutkan pengajian.

Menurut Pengurusi Majlis Perniagaan Malaysia Australia, Leigh Howard, rancangan ini penting dalam usaha mengukuhkan hubungan antara rakyat di kedua-dua negara.

“Hubungan pendidikan kedua-dua Negara kini hanya berat kepada Australia. Kami berharap Rancangan Colombo Baru ini membuka ruang pelajar Australia ke sini pula,” jelas Howard yang ditemui di ibu negara baru-baru ini.

Jelasnya, ini penting bagi memberikan pengalaman kepada golongan belia Australia untuk meluaskan perhubungan mereka di rantau Asia, terutamanya di Malaysia.

“Perhubungan ini bukan sahaja diwujudkan semasa mereka belajar atau mengadakan latihan praktikal di Malaysia, Tetapi membina persahabatan dan juga pada sisi lain, baik juga untuk untuk mewujudkan rangkaian perniagaan pada masa depan,” tambah Howard.

Bergerak ke hadapan, Howard percaya wujud ruang besar bagi kerjasama dua negara dipertingkatkan. Antaranya pembukaan lebih banyak universiti Australia di Malaysia.

Howard turut mencadangkan agar Canberra turut melihat kerjasama dalam bidang vokasional dalam membantu Kuala Lumpur memperkukuhkan pendidikan dalam bidang itu.

Rancangan Colombo Baru akan menyaksikan pelajar universiti di Australia yang berminat datang ke Malaysia untuk tempoh satu atau dua semester selain menyertai program mobiliti seperti latihan semasa bekerja.

Rancangan Colombo menyaksikan 20,000 pelajar dari rantau ini dihantar belajar ke Australia dari tahun 1950-an hingga pertengahan 1980-an.

Ia diperkenalkan dalam usaha membantu negara-negara di rantau ini daripada segi pembangunan kapasiti.