Syarikat Servcorp Malaysia yang berpangkalan di Australia memohon maaf secara terbuka semalam berikutan kontroversi papan iklannya yang memaparkan seekor wombat mengucapkan Salam Aidilfitri yang ramai tersilap anggap bahawa ia merupakan seekor babi.

Permohonan maaf Servcorp Malaysia dibuat menerusi akaun Facebooknya.

"Servcorp merupakan sebuah syarikat Australia dan menggunakan Wombat sebagai maskot syarikat. Wombat itu merupakan seekor anak beruang kecil berbulu seperti haiwan yang tergolong dalam keluarga beruang koala.

"Nampaknya segelintir orang tersilap anggap bahawa ia merupakan seekor babi dan ini mungkin menyentuh sensitiviti umat Islam dalam kesucian bulan Ramadan," kata Servcorp pada Isnin.

s

Servcorp juga menyatakan bahawa sebagai sebuah syarikat perniagaan antarabangsa, Servcorp tidak mempunyai niat untuk menyinggung mana- mana kaum ataupun agama, malah mereka tidak pernah berhadapan dengan sebarang isu walaupun menggunakan haiwan itu sebagai maskot termasuk di negara-negara Timur Tengah dan Arab.

Terdahulu, isu itu menjadi heboh di laman sosial, dimana ramai pengamal media sosial melahirkan kritikan mereka terhadap iklan tersebut.

BACA: Billboard guna gambar babi? Apa yang anda nampak?

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kemudian mengesahkan pemadaman iklan digital itu di Jalan Bukit Bintang pada Ahad lepas.

Servcorp yang ditubuhkan pada tahun 1978 merupakan sebuah syarikat pembekal ruang suit eksekutif dan konsep pejabat maya.