Lapan kawasan di Perlis dikenal pasti mempunyai kadar indeks pembiakan nyamuk Aedes yang tinggi dan berpotensi menyebabkan penularan wabak demam denggi.

Kawasan terbabit ialah Rumah Pangsa Kuala Perlis, Rancangan Perumahan Awam Kuala Perlis, Taman Semarak, Taman Peladang Jaya, Kampung Seberang Tok Pi, Kampung Hujung Tanjung, Kampung Baruh dan Padang Pauh dekat sini.

Menurut kenyataan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN), kawasan-kawasan lain yang turut dikesan terdapat kes denggi ialah Taman Bukit Kubu, Kampung Kota Kayang, Kampung Sena, dan Kampung Ujung Bukit, Bintong.

Sehubungan itu pihak JKN meminta masyarakat terutama di kawasan wabak agar memberi kerjasama sepenuhnya kepada para petugas JKN untuk melakukan pemeriksaan pembiakan Aedes di kawasan kediaman mereka.

"Petugas juga akan melaksanakan aktiviti kawalan nyamuk Aedes dengan membuat semburan kabus atau fogging," katanya di sini, hari ini

Pihak JKN juga mengalu-alukan inisiatif penduduk untuk menjalankan gotong royong bagi membasmi tempat pembiakan nyamuk Aedes.

--BERNAMA