Penyanyi dan usahawan terkenal negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin berhasrat untuk terus membantu usahawan wanita dalam bidang perniagaan yang diceburi mereka.

Malah, katanya, dengan pengikut hampir 6 juta di Instagram, beliau mahu menggunakan kelebihan platform berkenaan untuk memberi sokongan kepada usahawanita.

Antaranya, beliau sedia memberi maklumat dan peluang-peluang perniagaan yang akan sentiasa dipromosikan dalam media sosial.

"Mungkin saya boleh bantu dengan cara media sosial yang saya ada ini dengan pengikut 6 juta di Instagram ini, Alhamdulillah, untuk mewar-warkan lagi apa kemudahan (perniagaan) untuk wanita di luar sana boleh dapat, boleh sertai bersama. Insyaallah," katanya dalam sidang media selepas Dialog Bersama Usahawan Wanita Malaysia "Wanita Pemacu Ekonomi Negara" yang dilancarkan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Harun di sini pada Sabtu.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Rina Mohd Harun (tiga, kiri) bergambar bersama selepas merasmikan Majlis Dialog bersama Usahawan Wanita Malaysia hari ini. Turut serta Ikon Usahawan Wanita Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin (tiga, kanan). - Foto Bernama

Beliau mahu kelebihannya menjadi seorang artis yang dikenali turut dikongsi masyarakat terutama wanita yang mahu berjaya dalam perniagaan.

"Macam saya menyanyi, saya pun tidak tahu sampai bila saya menyanyi. Sekarang ini adalah usaha saya untuk bersama masyarakat, mana yang saya boleh tolong, saya tolong beri sokongan dan kongsi pengalaman.

"Sebenarnya kalau ikutkan ramai wanita mempunyai pendapatan yang tinggi sebab mereka suka berniaga. Kalau dulu mereka berniaga online sahaja , namun sekarang ada antara mereka yang sudah membuka butik dan sebagainya," ujar Siti.

Justeru katanya, usahawan wanita terutama ibu tunggal perlu merebut peluang yang ada bagi mengembangkan perniagaan mereka.