Institusi pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) diminta mematuhi arahan seperti dikeluarkan Pejabat Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia mengenai peruntukan cuti Tahun Baru Cina yang telah ditetapkan bagi warga kementerian itu.

Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata semua institusi pendidikan mestilah mematuhi surat siaran Bilangan 10, Tahun 2017 iaitu Takwim Penggal dan Cuti Persekolahan 2018.

"Kita (KPM) memohon tiada pelanggaran kepada arahan surat pekeliling berkenaan bagi membolehkan semua warga pendidik menikmati cuti Tahun Baharu Cina yang telah ditetapkan," katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Veteran Angkatan Tentera Malaysia daerah Padang Terap di sini pada Sabtu.

Beliau mengulas kenyataan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) pada Sabtu yang memohon KPM untuk campur tangan mengenai aduan diterima kesatuan itu daripada beberapa guru dan pensyarah bahawa ketua jabatan mereka telah mengeluarkan arahan bertentangan dengan surat siaran tersebut.

Surat siaran yang dikeluarkan kementerian, menetapkan 15 hingga 19 Februari (Khamis sehingga Isnin) sebagai cuti perayaan Tahun Baharu Cina.

NUTP berkata perkara itu telah dibincangkan dan dipersetujui pada Mesyuarat Penyediaan Takwim Persekolahan kementerian.

--BERNAMA