Penularan pandemik COVID-19 memberikan impak dalam pelbagai sektor di negara ini, khususnya dalam sektor ekonomi dan pekerjaan, yang sekali gus meningkatkan kadar pengangguran.

Justeru, Ketua Pegawai Eksekutif portal pencarian kerja, Maukerja.my Ray Teng berkata penganggur digalakkan memanfaatkan peluang pekerjaan dalam ekonomi gig.

Ray juga berkata platform ekonomi gig dilihat sebagai peluang terbaik buat penganggur untuk mencari pendapatan sementara menunggu pekerjaan tetap.

“Kami mengalakkan penganggur untuk bekerja secara sambilan dan menceburkan diri dalam ekonomi gig terlebih dahulu sementara menunggu pekerjaan tetap dan ekonomi negara ini untuk pulih.


“Pekerja ekonomi gig boleh menjana sehingga RM3,000 hingga RM4,000 sebulan, tidak menjadi masalah,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada Khamis.


Untuk rekod, ekonomi gig merupakan trend sistem pasaran buruh kontrak jangka pendek atau bebas yang dilakukan individu yang dipacu teknologi digital.

Dalam masa yang sama, beliau berkata data yang diperoleh di laman web Maukerja.my menyaksikan trend meningkat dalam pengiklanan jawatan kosong oleh syarikat dalam ekosistem ekonomi gig.


“Kami melihat satu trend yang baharu sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan ini iaitu banyak pengiklanan jawatan kosong untuk kerja sambilan, kontrak atau ekonomi gig.


“Sebagai contoh, syarikat e-hailing (khidmat penghantaran) seperti Grab dan Foodpanda memang memerlukan pekerja gig,” katanya.

Oleh itu, beliau menyarankan pihak kerajaan untuk memperkasakan syarikat-syarikat sedemikian selain menyediakan latihan kepada orang ramai untuk menjalani program peningkatan kemahiran (upskilling) dan latihan semula (reskilling) dalam menempuh cabaran normal baharu akibat tempias wabak COVID-19.

“Kami menyarankan kerajaan supaya bekerjasama dengan sektor latihan untuk melatih orang ramai supaya mempunyai kemahiran untuk menukarkan pekerjaan mereka daripada sektor tradisional kepada sektor dalam talian.

“Menerusi cara ini juga, ia akan mencipta peluang pekerjaan yang baharu,” ujarnya.