Jumlah penduduk yang dipindahkan di Kelantan, Terengganu dan Pahang menurun tengah hari tadi.

Menurut Portal Agensi Pengurusan Bencana Negara, seramai 1,582 orang dipindahkan sehingga jam 12 tengah hari, berbanding 1,802 pagi tadi.

Terengganu mencatatkan jumlah tertinggi mangsa dipindahkan iaitu 1,535 orang.

Setakat ini, 23 pusat pemindahan masih dibuka, manakala lapan lagi pusat ditutup berikutan paras air di beberapa kawasan terjejas banjir sebelum ini semakin surut.

Kemaman kekal mencatatkan jumlah mangsa terbanyak dipindahkaniaitu 991 orang, diikuti Hulu Terengganu 348 orang, Dungun 188 orang dan Marang, lapan mangsa.

Di Kelantan, 47 orang daripada dari Kampung Ghucil Tujuh, Gua Musang masih berada di sebuah pusat pemindahan banjir Pejabat Veterinar Kuala Krai, setakat ini.

Mereka terdiri daripada 28 dewasa dan 19 kanak-kanak yang dipindahkan ke pusat pemindahan berkenaan sejak 7 malam tadi.

Paras air sungai utama termasuk Sungai Kelantan masih berada di bawah paras amaran dan menunjukkan trend menurun.

Sementara itu, di Pahang, 51 orang daripada 11 keluarga dipindahkan di daerah Kuantan sejak pagi tadi, berbanding 39 orang petang semalam.

Mereka kini ditempatkan di pusat pemindahan di Sekolah Kebangsaan Kempadang.