KUALA LUMPUR: Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) diperuntukkan sebanyak RM300 juta bagi persiapan menghadapi banjir, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata ini termasuk RM100 juta yang bakal disalurkan segera selepas pembentangan Belanjawan 2024 Malaysia MADANI hari ini, menggunakan peruntukan 2023 bagi memastikan kelancaran persediaan menghadapi bencana itu hujung tahun ini.

"Selain itu, kerajaan bersetuju meningkatkan peruntukan di bawah Tabung Bantuan Bencana Negara tahun hadapan kepada RM200 juta ketimbang (berbanding) RM100 juta tahun ini.

"NADMA juga akan mempertingkatkan tahap keselesaan pusat pemindahan bagi menjamin kebajikan mangsa," katanya ketika membentangkan belanjawan itu Parlimen hari ini.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata ini antaranya termasuklah menyediakan sembilan pusat pemindahan kekal serta membaik pulih tandas, bilik mandi dan stor di 1,500 pusat pemindahan sementara, selain menyewa tandas bergerak.

Beliau berkata Kerajaan Perpaduan bersedia untuk menambah peruntukan sekiranya diperlukan bagi memastikan pengurusan musibah pada tahap terbaik.

Anwar berkata kerajaan juga akan menambah baik kemudahan dan rawatan perubatan bagi anjing K9 Jabatan Bomba dan Penyelamat serta menambah bilangan anjing pengesan K9 untuk bomba, polis dan kastam dengan peruntukan RM5 juta.

"Kita semua mesti mengingati Blake, anggota Unit Pengesan K9 Bomba yang telah meninggalkan kita setelah menabur bakti untuk negara," katanya.

-- BERNAMA