Jurufoto Utusan Malaysia Mohd Noor Mat Amin, 49, semalam menerima pengiktirafan daripada The Malaysia Book of Records sebagai jurufoto pertama di dunia yang berjaya memproses filem warna secara manual di Everest Base Camp.

Sijil pengiktirafan tersebut disampaikan oleh Pengarah Operasi The Malaysia Book of Records Christoper Hw Wong pada majlis Anugerah Lensa Rencam Utusan di ibu pejabat akhbar itu, di sini.

Mohd Noor, atau lebih dikenali sebagai Mr Pendaki Solo, telah memproses filem secara manual itu pada ketinggian 5,330 meter dari aras laut ketika beliau menjadi salah seorang peserta dalam Projek Malaysia-Everest 97' dari 1 Mac hingga 3 Jun 1997.

Mohd Noor memberitahu Bernama kelewatan mendapat pengiktirafan daripada The Malaysia Book of Records adalah kerana proses untuk membuat pengesahan yang beliau adalah jurufoto pertama berbuat demikian.

"Antara yang perlu dilakukan oleh pihaknya adalah menyiarkan berita mengenai perkara tersebut, surat sokongan dari pihak pengurusan Utusan, surat sokongan dari agensi trekking yang mengesahkan dia berada di sana pada masa tersebut dan peralatan-peralatan yang digunakan," katanya.

Ditanya kenapa tidak menghantar penyertaannya kepada Guinness World of Records, beliau berkata kos untuk menghantar penyertaan terlalu tinggi.

Mohd Noor berkata, tahun depan beliau akan mendaki Gunung Everest sekali lagi dan akan pastikan beliau turun dengan satu lagi rekod.

Beliau bagaimanapun enggan memaklumkan mengenai rekod yang bakal dicipta.

Anak kelahiran Terengganu itu pernah menerima pengiktirafan sebagai Pendaki Solo Sempena Kemerdekaan Negara ke-50, Pendakian Tangga Tanpa Henti selama 24 Jam Menara Kuala Lumpur, Pendakian Solo 111 kali Gunung Kinabalu 1Malaysia dan mendaki Gunung Kinabalu selama 57 jam tanpa henti sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-57.

"Lima pengiktirafan ini masih belum cukup puas untuk saya," katanya.

Sementara itu, majlis tersebut turut meraikan ulang tahun pertama penubuhan Lensa Rencam, dengan jurufoto Utusan Shahjehan Md Amin dinobatkan sebagai pemenang pertama Anugerah Lensa Rencam menerusi karyanya "Merakam Cahaya Api".

Manakala petugas unit harta akhbar itu Gaie Uchel memenangi tempat kedua dan jurufotonya Fauzi Baharuddin tempat ketiga.

Anugerah disampaikan oleh Pengarah Urusan Kumpulan Utusan Melayu (Malaysia) Berhad, Datuk Mohd Noordin Abbas.

Turut hadir Ketua Pengarang Kumpulan Utusan Melayu (Malaysia) Berhad Datuk Abdul Aziz Ishak dan timbalannya Datuk Othman Mohamad dan Ketua Analisis The Malaysia Book of Records Mohammad Alex Edward.