Keamanan yang dikecapi Malaysia merupakan faktor negara ini sering disasar kumpulan pengganas dalam usaha mereka menyebarkan kegiatan keganasan di rantau Asia Tenggara, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed.

Beliau berkata faktor itu juga antara sebab kumpulan pengganas melihat negara ini sebagai lokasi strategik bagi merekrut anggota baharu kononnya untuk mendapatkan sokongan daripada orang Islam di sini.

Bagaimanapun katanya, kecekapan pencegahan dan strategi risikan berkesan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sehingga berjaya menggagalkan pelbagai cubaan masuk sebarang kumpulan pengganas menjadikan Malaysia sebagai 'kayu pengukur' dalam menentukan penularan kegiatan keganasan di rantau ini.

"Buktinya ialah Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 lepas yang menyaksikan polis berjaya mengekalkan keamanan tanpa berlaku sebarang insiden keganasan walaupun negara sering dijadikan sasaran pengganas untuk cuba melakukan serangan.

"Pujian patut diberikan kepada PDRM kerana menjalankan tugas dengan amat baik dan efektif, hasil pengalaman semasa usaha memerangi kumpulan pengganas Al-Qaeda Asia Tenggara suatu masa dahulu," katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan kerja selaku Yang Dipertua Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam) Kebangsaan di sini, hari ini.

Nur Jazlan mengulas kejayaan PDRM memberkas tiga lelaki termasuk pelajar sekolah yang disyaki terlibat dalam aktiviti keganasan pada 10 Okt lepas.

Beliau berkata PDRM kini melipatgandakan pemantauan terhadap cara kumpulan pengganas yang cuba masuk ke negara ini bagi mendapatkan senjata dan juga bom buatan sendiri.

Mengulas mengenai lawatan kerjanya, Nur Jazlan berkata Pemadam kini bekerjasama rapat dengan semua kerajaan negeri bagi membendung isu penyalahgunaan dadah khususnya dalam kalangan remaja keciciran sekolah.

"Insiden melibatkan penyalahgunaan dadah dalam kalangan remaja keciciran sekolah dilihat semakin meningkat namun isu tersebut sebelum ini kita tidak kaji secara menyeluruh sebab kita tiada data," katanya.

Katanya sindiket dadah kini dilihat menyasarkan golongan pelajar seawal umur 10 tahun sebagai potensi pasaran jangka panjang dan perkara tersebut perlu diambil tindakan pencegahan oleh semua pihak dengan segera sebelum ia menjadi lebih serius.

-- BERNAMA