Sebuah kedai haiwan peliharaan di Taman Melawati, Ulu Kelang mengalami kerugian lebih RM5,500 dan kehilangan dua ekor kucing apabila dirompak sekumpulan lelaki pada Rabu lepas.

Timbalan Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Mohd Zaid Hassan berkata, pihaknya menerima laporan dari seorang pekerja kedai berkenaan pada hari yang sama.

“Pada pukul 6.50 petang, mangsa bersama dua lagi rakan sekerjanya didatangi tiga lelaki bersenjatakan parang yang masuk ke dalam kedai.

“Mangsa yang panik dan ketakutan terus meluru masuk bersembunyi ke bilik belakang pejabat. Selepas 5 minit mangsa bersama rakan kerjanya keluar dari bilik tersebut dan mendapati ketiga-tiga suspek telah beredar.

“Hasil pemeriksaan mendapati wang tunai dalam peti tunai dan dua ekor kucing telah dibawa lari. Jumlah kerugian dianggarkan lebih RM5,500,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.


Justeru itu, pihak polis menyeru masyarakat yang mempunyai maklumat mengenai kejadian untuk tampil membantu pihak polis mengenal pasti suspek dan kenderaan yang digunakan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun berkumpulan bersenjata,” katanya.

BACA: Tak mahu 'pecah kepala' fikir tentang zuriat sendiri, bela haiwan lebih bagus

BACA: Kucing berwajah 'samseng' curi tumpuan netizen di laman sosial