Seorang bekas pembersih rumah dan suaminya ditahan bagi membantu siasatan dalam kes kematian seorang pekerja kilang di Kampung Telisai, Tungku, kira-kira pukul 12.05 tengah malam tadi.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, ACP Nasri Mansor berkata, pasangan suami isteri berumur antara 41 dan 60 tahun itu ditahan bagi membantu siasatan.

"Dalam kejadian kira-kira pukul 12.05 tengah malam tadi, jiran mangsa menyedari kejadian itu apabila terdengar jeritan mangsa.

"Jiran itu terus menghubungi majikan dan majikan telah membuat panggilan ke Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu memaklumkan kes tikam di Kampung Telisai.

"Majikan dan suami jiran telah datang ke rumah mangsa dan mendapati mangsa terbaring dengan keadaan berlumuran darah di ruang tamu," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jelas Nasri, dua hari sebelum kejadian, suspek telah diberhentikan kerja oleh mangsa.

"Mangsa disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 1 pagi di rumahnya, oleh pegawai perubatan dari Klinik Kesihatan Tungku, akibat kesan tikaman lebih kurang tiga inci lebar di perut sebelah kiri mangsa.

"Mangsa tinggal seorang diri selepas keluarganya balik ke Indonesia pada tahun 2016. Siasatan di rumah mangsa tidak menemui sebarang unsur pecah masuk," katanya.

Menurut Nasri, motif kejadian masih dalam siasatan.

Ia dipercayai dilakukan oleh orang yang dikenali mangsa.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.