Kementerian Luar sedang memantau isu peningkatan jumlah rakyat Malaysia yang membuat permohonan visa perlindungan dan status pelarian daripada kerajaan Australia.

Menurut Kementerian Luar dalam satu kenyataan pada Jumaat, jumlah yang besar itu disebabkan terdapat rakyat Malaysia yang mengambil kesempatan dengan memanipulasi undang-undang imigresen Australia bagi membolehkan mereka menetap lebih lama dengan cara yang tidak sah.

Kenyataan itu memaklumkan tindakan tersebut mengakibatkan kesukaran kepada rakyat yang berniat baik (bona fide) ingin belajar, berkunjung dan menetap di Australia.

Justeru, Kementerian Luar dan Jabatan Imigresen Malaysia akan terus bekerjasama dengan pihak berkuasa Australia bagi memantau isu tersebut.

"Kementerian Luar mengingatkan rakyat Malaysia yang mengunjungi mana-mana negara agar sentiasa mematuhi peraturan serta undang-undang yang terpakai di negara berkenaan bagi mengelak kesukaran kepada mereka," menurut kenyataan itu.

Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Malaysia, Andrew Goledzinowski baru-baru ini, mendedahkan seramai 33,000 rakyat Malaysia yang menetap di Australia melebihi tempoh 90 hari yang dibenarkan, membuat permohonan bagi mendapatkan status pelarian.

Rakyat Malaysia yang memohon status pelarian termasuk dalam kalangan pelancong dan pelajar adalah bagi mengelak daripada dihantar pulang ke negara asal.

Bulan lepas, kerajaan Australia dilapor menerima 4,973 permohonan daripada rakyat Malaysia bagi mendapatkan visa perlindungan antara Julai tahun lepas dan April tahun ini.

-- BERNAMA