Kementerian Pertahanan tidak perlu melakukan siasatan dalaman bagi mengesan salah laku dan penyelewengan yang didakwa berlaku dalam kementerian itu, ujar Menterinya, Mohamad Sabu.

Katanya, siasatan semua salah laku yang bukan sahaja melibatkan kementeriannya malah kementerian lain akan dijalankan Jawatankuasa Siasatan Khas.

"Sebarang yang dikatakan ada penyelewengan biarlah jawatankuasa itu yang menyiasat. Sekarang ini diketuai Tan Sri Ambrin Buang dan beberapa nama lain pasukan inilah yang akan siasat bukan hanya MINDEF tetapi semua kementerian mereka nak tumpu di kementerian mana itu terserah kepada mereka," katanya dalam sidang media selepas Majlis Hari Raya Parti Amanah Negara Kelantan, di sini hari ini.

BACA: Ambrin Buang ketuai jawatankuasa siasatan khas isu tadbir urus - PM

Katanya jawatankuasa berkenaan akan menentukan kementerian mana yang akan disiasat terlebih dahulu.

Pada Sabtu, Mohamad Sabu yang turut dikenali dengan panggilan Mat Sabu turut menjelaskan siasatan semua salah laku dan penyelewengan yang didakwa berlaku dalam Kementerian Pertahanan akan bermula selepas Hari Raya Aidilfitri.

Satu jawatankuasa baharu yang dipengerusikan Ambrin telah diluluskan di peringkat kabinet dan beliau akan membentuk keanggotaan dalam jawatankuasa selepas raya sebelum mulakan siasatan.

Anggota Parlimen Kota Raja itu yang terkenal berkata kementeriannya sedia untuk memberikan kerjasama kepada jawatankuasa siasatan khas itu bagi membantu siasatan.