Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail telah mengarahkan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) untuk meneliti semula Arahan 20 Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang dikeluarkan selepas tragedi Highland Tower lebih 20 tahun lalu.

Beliau berkata, langkah itu penting bagi memastikan usaha penambahbaikan dapat dilakukan ke atas mana-mana perkara dalam arahan berkenaan.

“Arahan 20 dikeluarkan selepas tragedi Highland Tower lebih 20 tahun dulu. Tragedi itu bukan bencana semulajadi sebab ia ranap dan kita perlu kemaskini Arahan 20 ini,” ujarnya.

Arahan 20 MKN bertujuan menggariskan dasar dan mekanisme pengurusan bencana secara menyeluruh, termasuk peranan dan tanggungjawab agensi kerajaan, badan berkanun, pihak swasta dan badan-badan sukarela meliputi peringkat sebelum, semasa serta selepas bencana.

Sementara itu, Dr Wan Azizah berkata, kerajaan juga akan melakukan audit risiko bencana bagi setiap negeri seluruh negara.

Beliau berkata, langkah itu penting memandangkan profil risiko bencana adalah berbeza dari negeri ke negeri.

“Sebagai contoh, di Pantai Timur adalah lebih kepada taufan, manakala di Pantai Barat Malaysia, adalah ke arah tsunami dan punca bencana dari Indonesia,” katanya pada sidang media selepas mengadakan mensyuarat bersama NADMA di Ibu Pejabatnya di Putrajaya hari ini.

Beliau dalam pada itu turut mencadangkan NADMA merancang latihan-latihan dengan pelbagai agensi untuk memastikan penyelarasan yang lebih baik di peringkat operasi.

“Saya juga meminta NADMA berbincang dengan badan-badan bukan kerajaan (NGO) mengenai penyelarasan yang perlu diwujudkan ketika bencana.

"Kita telah meneliti pengajaran banjir besar yang berlaku seperti banjir di Kelantan pada 2014,” ujarnya.

Selain itu katanya, Malaysia juga perlu meningkatkan keupayaan meramal bencana-bencana baharu yang mungkin akan dihadapi negara.

“Kita juga melakukan 'scenario planning' untuk menghadapi kemungkinan yang di luar jangkaan di masa hadapan,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Pengarah NADMA Datuk Dr Ahmad Jailani Muhamed Yunus berkata audit risiko akan digerakkan dengan kerjasama agensi lain supaya lebih terancang dan tertumpu kepada keperluan yang jelas.

“Dalam audit ini nanti kita akan lihat balik dokumen-dokumen dan keperluan yang ada dan lihat sejauh mana ia memenuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan,” katanya.

Ahmad Jailani berkata, NADMA merancang menubuhkan Sahabat NADMA bagi memudahkan latihan dan kerjasama dengan individu, badan bukan kerajaan dan persatuan bagi membantu dan menyelamat mangsa bencana.

"Ini adalah langkah yang baik selain dapat mewujudkan kos efektif dan akan membantu mempercepatkan usaha menyelamat dan sebagainya," katanya.