Kajian mengenai status penduduk yang menetap di Projek Perumahan Rakyat (PPR) akan dilakukan tahun depan, kata Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata langkah itu diambil berikutan aduan bahawa terdapat pemilik rumah PPR yang menyewakan rumah mereka kepada pihak ketiga untuk mendapat pendapatan lebih.

"Saya dah minta Ketua Pengarah JPN (Jabatan Perumahan Negara) untuk membuat kajian terperinci...saya nak pastikan siapa yang duduk di situ, tuan punya rumah atau dah disewakan, atau dah dijual sebelum moratorium tamat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan daripada peserta mengenai isu penyalahgunaan rumah PPR pada sesi dialog Tanya Gomen' bersama KPKT di sini, pada Khamis.

Abdul Rahman berkata kajian itu dijangka akan mengambil masa antara enam bulan hingga setahun, dan penilaian serta tindakan susulan akan dilaksanakan oleh Perbadanan Pengurusan Perumahan Awam Negara (3PAN) di bawah kementeriannya.

Dalam pada itu, Abdul Rahman berkata kementerian akan meneliti cadangan mewujudkan skim 'Rent To Own' (RTO), sebagai satu lagi pilihan kepada mereka yang ingin membeli rumah di bawah kelolaan JPN.

Beliau berkata skim itu dilihat mampu memberi situasi menang-menang, iaitu memastikan pemaju terus membina rumah mengikut keperluan, serta pembeli yang ingin memiliki rumahnya sendiri.

Buat masa ini, skim itu sedang dilaksanakan oleh projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA), iaitu sebagai program sewa beli kediaman selama 10 tahun bagi pemohon yang berjaya dalam pengundian untuk kediaman PR1MA tetapi gagal mendapatkan kelulusan pinjaman daripada bank panel PR1MA.

Di bawah skim RTO, pemohon perlu menyewa kediaman PR1MA sehingga 10 tahun.

Pemohon diberi pilihan untuk membeli kediaman tersebut pada akhir tahun kelima atau ke-10 pada harga yang ditetapkan oleh PR1MA.