Kerajaan negeri Sarawak tidak akan sama sekali menyokong sebarang usaha daripada mana-mana pihak untuk memisahkan negeri berkenaan dari Malaysia.

Ketua Menteri, Tan Sri Dr Adenan Satem berkata, kerajaan negeri akan terus memastikan segala perpaduan dan kemajuan Sarawak di masa hadapan akan lebih baik tanpa perlu Sarawak keluar dari Malaysia.

Menurutnya lagi, kerajaan negeri amat memahami sentimen yang dibawakan oleh sesetengah pihak terutama pergerakan ‘Sarawak for Sarawakians’ namun tidak akan sesekali melayan atau meluluskan sebarang permintaan referendum mengenai perkara tersebut kerana Sarawak telah banyak mencapai kejayaan dan kemajuan dengan pembentukan Malaysia.

“Kita tidak akan bersetuju dengan cara tersebut… kita percaya kepada autonomi penuh negeri Sarawak di bawah Perlembagaan,” katanya kepada pemberita hari ini.

Adenan turut mengulangi bahawa Sarawak bukan wujud kerana menyertai Malaysia, tetapi Sarawak sama sama terlibat dalam membentuk negara Malaysia.

Katanya, tidak ada sebab untuk Sarawak keluar dari Malaysia dan negeri itu akan terus bersama-sama membangunkan Malaysia di masa akan datang.

“Sebab kita bukan hanya sebuah negeri dalam persekutuan, kita adalah negeri pengasas dalam persekutuan,” katanya.

Adenan berkata demikian dalam ucapannya ketika hadir ke majlis memperingati tarikh 22 Julai Sarawak Merdeka di pekarangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, pagi Rabu.

Majlis berkenaan turut dihadiri oleh Tuan Yang Terutama (TYT) Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud serta isteri Toh Puan Ragad Kurdi Taib di mana turut diadakan satu persembahan bagi mengimbau sejarah perjuangan pejuang-pejuang lampau dalam memerdekakan negeri tersebut suatu masa dahulu.

Pada masa sama, satu perhimpunan turut diadakan oleh pergerakan Sarawak for Sarawakians (S4S) dan pertubuhan Dayak Iban Sarawak (Sadia) di kawasan pusat bandar di mana lebih 2,000 hadirin menyertai perhimpunan berkenaan yang diadakan di Taman Rekreasi Song Kheng Hai Kuching.

Kumpulan berkenaan telah berarak beramai-ramai ke Padang Merdeka meskipun dilarang pihak berkuasa atas faktor keselamatan dan bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas.