KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang mempertimbangkan untuk melaksanakan skim kecederaan akibat suntikan vaksin COVID-19 seperti yang sudah dilakukan beberapa negara lain.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin berkata, skim berkenaan akan memberi perlindungan kepada mereka yang mendapat kesan sampingan yang teruk selepas menerima suntikan vaksin.

"Kita faham ramai yang bimbang dengan kesan sampingan yang serius, walaupun setakat ini tiada laporan mengenai kesan sampingan serius atau kematian yang secara langsung disebabkan oleh vaksin, tetapi sebagai langkah berhati-hati, kita akan umumkan skim kecederaan.

"Ini sekadar langkah berjaga-jaga, jika ada yang mengalami kesan sampingan serius seperti dimasukkan ke hospital atau kematian.

"Ini salah satu cara kita untuk yakinkan orang ramai. Kalau masuk hospital, kerajaan akan tanggung dan kalau ada kematian, ada jumlah tertentu akan dibayar kepada waris.

"Kita akan bawa ke mesyuarat jemaah menteri minggu depan," katanya dalam sesi Zoom bersama pengamal perubatan MedTweetMY, malam ini.

Dalam pada itu, Khairy memaklumkan tiada perkongsian data peribadi dengan syarikat farmaseutikal bagi tujuan pemantauan.

"Seperti Pfizer, mereka sudah ada perjanjian dengan negara-negara seperti Israel untuk buat kajian dan pemantauan teliti. Salah satu sebab mereka dapat vaksin ini lebih awal ialah kerana persetujuan tersebut.

"Bagi Malaysia, yang mungkin berada di tengah-tengah dalam senarai queue, mereka (syarikat farmaseutikal) tidak minta apa-apa secara spesifik. Kalau minta data umum, kita boleh kongsi.

"Tetapi kita tetap akan lakukan pemantauan," katanya lagi.