Mahkamah Tinggi di sini, pada Selasa diberitahu bahawa kertas siasatan berhubung kes penyelewangan dana SRC International Sdn Bhd melibatkan Datuk Seri Najib Tun Razak dipulangkan semula oleh Jabatan Peguam Negara (AGC) kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) beberapa kali sejak siasatan bermula 2015.

Penolong Kanan Pesuruhjaya (PKPj) Bahagian Operasi Khas (BOK) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Rosli Husain berkata siasatan di bawah Akta Pengubahan Wang Haram berkaitan Najib telah dijalankan sejak laporan dibuat oleh pegawai SPRM pada 3 Julai 2015.

"Kemudian sepanjang Julai 2015, saya telah bertindak membuat rakaman percakapan para penerima cek dari akaun peribadi Najib," katanya yang menambah kertas siasatan kes itu kemudiannya dikemukakan kepada AGC.

Saksi itu berkata, selepas kertas siasatan itu diputuskan "Tiada Tindakan Lanjut" pada Januari 2016, beliau telah memberikan taklimat kepada Panel Penilaian Operasi (PPO) SPRM yang ketika itu dipengerusikan oleh Datuk Wira Hamid Bugo, dengan tujuan untuk meneliti semula kertas-kertas siasatan yang telah ditandakan sebagai NFA (Tiada Tindakan Lanjut).

"Beliau telah menasihati saya untuk mengemukakan kembali kertas siasatan untuk disemak semula oleh Tan Sri Mohamed Apandi kerana pihaknya yakin ada keterangan yang menunjukkan berlakunya kesalahan atas akta yang disyorkan.

"Susulan itu, pada hujung Mac 2016, SPRM telah mengemukakan semula kertas siasatan kepada Peguam Negara untuk dikaji semula," katanya.

Rosli berkata pihaknya menerima arahan untuk menyiasat lanjut kes itu pada 22 Sept 2016, selepas Mohamed Apandi memutuskan "Tiada Tindakan Lanjut" pada kertas siasatan sama pada 26 Jan 2016.

Rosli berkata beliau menerima semula kertas siasatan itu dengan arahan untuk membuat siasatan lanjut sebelum diarahkan untuk mengambil tindakan mengenai kes sama pada 7 Julai 2017.

Saksi pendakwaan terakhir itu berkata siasatan kes itu diteruskan sekitar Jun 2018.

"Setelah siasatan saya selesai pada 12 Jun 2018, saya ingat tarikh itu sebab dua hari sebelum Hari Raya Aidilfitri tahun sama. Saya kemukakan kembali kertas siasatan kepada Peguam Negara ketika itu dengan syor dan keputusan yang diambil adalah untuk menuduh tertuduh (Najib), seperti mana pertuduhan hari ini," katanya.

Saksi pendakwaan ke-57 itu berkata demikian pada pemeriksaan semula oleh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Suhaimi Ibrahim pada hari ke-58 perbicaraan Ahli Parlimen Pekan itu yang menghadapi tujuh pertuduhan berkaitan penyelewengan dana SRC berjumlah RM42 juta.

-- BERNAMA