Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar digesa untuk menubuhkan satu jawatan kuasa khas untuk menyiasat pembunuhan pembantu calon PKR di mana mayatnya ditemui sehari sebelum hari pengundian.

K. Murugan merupakan pengawal peribadi dan pekerja kempen kepada calon parlimen Tapah, K. Vasantha Kumar. Mayat mangsa yang berusia 36 tahun ditemui berhampiran kolam taman perindustrian Bemban di Batu Gajah pada 4 Mei dengan keadaan wajah mangsa cedera, badan dikelar dan diikat menggunakan wayar.

Vasantha Kumar beserta 20 wakil dari NGO tiba di Bukit Aman hari ini untuk bersemuka dengan Khalid.

Satu memorandum dari NGO telah diserahkan kepada pihak polis memohon untuk siasatan berprofil tinggi atas pembunuhan itu.

“Pembunuhan berkaitan politik sesuatu yang serius dan harus ditangani, status yang sama seperti siasatan terhadap Adam Adli berkenaan kenyataan berunsur hasutan atau ahli PKR Nik Nazmi berkaitan perhimpunan,” kata Suaram koordinator R. Thevarajan.

Beliau bersama-sama dengan wakil NGO seperti Warga Aman, dewan Perhimpunan Cina Selangor KL, rakyat Malaysia untuk Beng Hock, dan Amnesty International Malaysia.

Peguam keluarganya M. Visvanathan berkata keluarga Murugan hanya mahukan penyiasatan yang telus dan terperinci oleh pihak polis.

“Kami inginkan penyiasatan tanpa keraguan atau memihak mana-mana pakatan politik. Keluarga hanya ingin mengetahui punca sebenar kematian, siapa yang melakukannya dan motif disebaliknya,” kata Visvanathan.

Vasantha Kumar berkata ini merupakan kali ketiga rayuan bertulis diserahkan kepada pihak polis.

“Sejumlah enam laporan polis dibuat sekitar 18 April sehingga 6 Mei berkaitan ugutan dan ancaman bunuh terhadap diri saya dan pekerja kempen saya,” katanya.

Vasatha Kumar berkata pihak polis seharusnya menyiasat laporan tersebut dan meminta kenyataan diambil dari Datuk M. Saravanan, pihak lawannya di Tapah.

Saravanan yang merupakan Timbalan Menteri Belia dan Sukan menang dengan majoriti 7,927 undi di pertandingan empat penjuru kerusi Tapah. Saravanan juga menewaskan wakil Berjasa Shaharuzzaman Bistamam dan juga Ketua Bahagian PKR Tapah, Ridzuan Bani yang bertanding sebagai calon bebas.

Ridzuan berkata keputusan untuk bertanding sebagai calon bebas berikutan permintaan daripada ahli jawatankuasa bahagian itu, ahli-ahli parti dan penyokong yang tidak berpuas hati dengan pilihan calon oleh kepimpinan parti.

Sementara itu, wakil dari Bukit Aman ASP Rizal Abd Rahman Sidek menerima memorandum tersebut dan menyatakan bahawa akan menyerahkan informasi tersebut kepada KPN. Walaubagaimanapun, dia tidak menjanjikan sebarang pertemuan dengan Khalid.

Sebagai respon, kumpulan NGO tersebut akan datang kembali pada esok untuk bertemu Khalid.