Kes demam denggi bagi tempoh 10 hingga 16 Dis menunjukkan peningkatan sebanyak 35 kes berbanding minggu sebelumnya, kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata sebanyak 985 kes demam denggi direkodkan bagi tempoh tersebut.

Katanya terdapat sembilan negeri menunjukkan peningkatan kes berbanding minggu sebelumnya iaitu Pulau Pinang, Johor, Perak, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, Negeri Sembilan, Pahang, Sarawak, Melaka dan Perlis.

Bagaimanapun katanya, jumlah kumulatif kes demam denggi yang direkodkan dari Januari hingga 16 Dis tahun ini berkurangan sebanyak 16,648 kes kepada 81,790 berbanding 98,438 kes bagi tempoh yang sama tahun lepas.

"Terdapat satu kematian yang dilaporkan bagi tempoh 10 hingga 16 Dis dan ini menjadikan jumlah kumulatif kematian denggi di Malaysia dari Januari hingga 16 Dis adalah sebanyak 170 berbanding 230 pada 2016 iaitu pengurangan sebanyak 60 kematian," katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata tiada kes chikungunya direkodkan pada minggu tersebut menjadikan jumlah kumulatif kes dari 1 Jan sehingga 16 Dis kekal sebanyak 269 kes.

Beliau berkata setakat 16 Dis tahun ini, pemantauan sistem survelan virus Zika oleh Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan dan Institut Penyelidikan Perubatan mendapati keputusan ujian bagi 2,199 sampel darah dan 33 sampel air kencing dalam kalangan pesakit yang menunjukkan gejala jangkitan virus berkenaan adalah negatif.

-- BERNAMA