Bekas ahli parlimen Pandan, Mohd Rafizi Ramli akan mengemukakan representasi kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) bagi mengkaji semula pertuduhan yang dihadapinya berhubung tohmahan terhadap Lembaga Tabung Haji (TH), dua tahun lepas.

Perkara itu dimaklumkan oleh peguam Md Yunos Shariff yang bertindak bagi pihak Mohd Rafizi, bekas naib presiden PKR, kepada Majistret Umzarul An-Nur Umar pada sebutan lantikan peguam, di sini, hari ini.

Md Yunos berkata, beliau telah dilantik mewakili Mohd Rafizi pada 18 Dis lepas bagi menggantikan peguam terdahulu, Gobind Singh Deo.

Katanya, anak guamnya telah mengarahkan beliau untuk mengemukakan representasi itu pada 4 Jan ini.

Mahkamah menetapkan 28 Jan ini bagi mengetahui status representasi tersebut dan sekiranya ditolak, tarikh sambung bicara untuk pembelaan ditetapkan pada 27 dan 28 Feb depan.

Pada 25 Sept lepas, Mohd Rafizi diperintahkan untuk membela diri selepas Umzarul An-Nur mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya.

Pada 8 April 2016, Mohd Rafizi, mengaku tidak bersalah menyiarkan artikel bertajuk 'Analisa Kewangan Tabung Haji 2009-2015' dalam akaun Facebook Rafizi Ramli bertarikh 9 Feb 2016, yang mengandungi tohmahan terhadap TH yang boleh merosakkan nama baik perbadanan itu.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di Tingkat 18, Bangunan Tabung Haji, 201, Jalan Tun Razak di sini, pada 9 pagi, 18 Feb 2016 mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mohd Rafizi turut diwakili peguam Adi Zulkarnain Zulkafli manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Jaizah Jaafar Sidek. -- Bernama