Ketagihan merempit nyata sukar dibendung sekalipun ketika datangnya musim banjir, seakan-akan ada pihak sengaja ambil kesempatan ketika orang ramai dan pihak berkuasa sibuk menghadapi bencana itu.

Musim banjir seolah-olah menjadi tiket kepada golongan 'mat rempit' untuk berpesta dengan melanggar peraturan jalan raya.

Kebimbangan itu ditambah pula dengan sikap segelintir orang ramai yang mengabaikan aspek keselamatan dan peraturan ketika menggunakan kenderaan.

Menurut Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, ACP Idris Abd Rafar, kebanyakan lokasi kesalahan tersebut membabitkan kawasan kampung.

Menurut Idris, pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pesalah yang dikesan melanggar peraturan walaupun di kawasan kampung.

"Main air banjir ni dengan menggunakan motosikal yang ada tapi tak mematuhi peraturan yang sepatutnya.

"Bila naik motor, pertama sekali pastikan ada topi keledar sekalipun (menunggang) di kawasan kampung.

"Peraturan trafik tidak kira jalan kampung atau jalan bandar. Anda wajib mematuhi arahan dan peraturan," ujarnya.

Polis Daerah Kuala Terengganu akan memperketatkan lagi rondaan di kawasan-kawasan yang dinaiki air dalam usaha mencegah golongan remaja khususnya 'mat rempit' terus bermaharajalela dengan aksi mereka.

Jika dikesan mereka tidak mempuyai lesen, tidak memakai topi keledar dan sebagainya tindakan lanjut akan diambil.

Sementara itu, Idris berkata, orang ramai juga perlu menghentikan sebarang aktiviti berdekatan kawasan air sepanjang musim tengkujuh ini.

Tegasnya, ibu bapa perlu mengawasi pergerakan anak mereka agar tidak mandi di kawasan banjir termasuk sungai dan pantai.