Kiub Simulasi Rel Berkelajuan Tinggi (HSR) China dilancarkan hari ini di Stesen Sentral Kuala Lumpur bagi memberi pendedahan dan pengetahuan baharu kepada Malaysia mengenai teknologi terkini digunakan China dalam pengangkutan awamnya.

Ia mula dibuka kepada orang ramai selama tiga bulan.

Pelancaran Kiub Simulasi HSR China disempurnakan Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat Malaysia (SPAD), Tan Sri Dr Syed Hamid Albar.

Turut hadir, Duta Besar China ke Malaysia, Huang Huikang.

Acara pembukaan berkenaan adalah lanjutan dari China HSR Show yang pernah dianjurkan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada penghujung 2015.

Kiub pengalaman HSR China berkenaan juga menjadi rujukan projek HSR Kuala Lumpur- Singapura, satu daripada projek permulaan (EPP) yang bertujuan meningkatkan kedinamikan ekonomi Malaysia serta menjadi salah satu bandar global yang paling sesuai didiami.

HSR China dilengkapi dengan teknologi canggih termasuk stimulator, kerusi berbagai kelas, dan skrin elektronik interaktif.

Rel Berkelajuan Tinggi itu telah menempa kejayaan dalam sistem infrastruktur, tren berkelajuan tinggi, keselamatan, hub integrasi pengangkutan dan berbagai teknologi terkini yang menjadikan keseluruhan sistem teknologi laluan rel ini canggih dan sempurna.

Dari segi kemudahan, sistem terbuka menjadikannya mudah untuk disesuaikan dengan teknologi rel kelajuan tinggi lain selain mengutamakan ciri-ciri keselamatan.

Setakat ini, 37 sistem pengawasan termasuk pengawasan keselamatan tren, persekitaran operasi, penggera bencana alam terhadap infrastruktur HSR melengkapkan prasarana dan mekanisme sistem operasi China HSR.