Tahap komitmen dalam kalangan usahawan industri kecil dan sederhana (IKS) di Sarawak dalam melaksanakan inisiatif bagi menjaga amalan keselamatan dan kesihatan pekerjaan (OSH) yang baik untuk mencegah kemalangan, ketika ini didapati masih rendah.

Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (Niosh) Tan Sri Lee Lam Thye berkata hanya syarikat-syarikat besar dalam industri utama seperti minyak dan gas dilihat gigih melaksanakan inisiatif OSH ketika ini, manakala kebanyakan syarikat lain masih belum melaksanakannya.

Beliau berkata pelaksanaan OSH dalam kalangan IKS di Sarawak amat penting kerana ada antara pengusahanya nanti yang akan terlibat dalam projek-projek mega seperti Lebuhraya Pan Borneo and Sarawak Corridor of Renewable Energy (SCORE).

"Masih ada pihak industri yang tidak mahu melabur untuk keselamatan dan kesihatan di tempat kerja kerana faktor kos. Mereka tidak sedar bahawa kemalangan atau kematian boleh berlaku jika mereka mengenepikan aspek OSH dan kos yang bakal ditanggung sebenarnya lebih tinggi," katanya.

Lee ketika ini berada di Kuching bagi mengetuai delegasi NIOSH untuk memberi penerangan mengenai peranan dan perkhidmatan NIOSH kepada Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak Tan Sri Mohamad Morshidi Abdul Ghani.

LEE-OSH 2 (AKHIR) KUCHING

Beliau berkata walaupun kemalangan industri di Malaysia kini berkurangan 21.9 peratus dalam tempoh 10 tahun (2005-2015), cabaran yang menanti adalah untuk membentuk budaya OSH yang baik dan memastikan persekitaran kerja bebas kemalangan dapat dicapai.

Menurutnya statistik yang dikeluarkan oleh Kementerian Sumber Manusia menunjukkan bahawa kemalangan industri berjaya dikurangkan daripada 5.16 kes bagi setiap 1,000 pekerja pada tahun 2005 kepada 3.1 kes pada tahun 2014 dan 2.81 kes pada tahun 2015.

"Kini cabaran paling besar bukan hanya untuk menurunkan kadar kemalangan tetapi menjadikan budaya OSH yang baik sebagai amalan hidup dan seterusnya menyumbang kepada pembangunan persekitaran kerja bebas kemalangan," katanya.

"Berdasarkan pemerhatian dan bukti-bukti yang ada, amalan OSH yang baik mampu meningkatkan mutu persekitaran tempat kerja dan produktiviti," tambahnya.

-- BERNAMA