SHAH ALAM: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor sehingga semalam telah mengeluarkan 267 notis kepada peniaga yang dikesan menaikkan harga jualan barangan terutama apabila menjelang musim perayaan.

Pengarah KPDNHEP Selangor Muhammad Zikril Azan Abdullah berkata hasil maklum balas peniaga terhadap notis yang dikeluarkan mendapati satu daripadanya memerlukan proses siasatan lanjut pihaknya.

"Satu notis memerlukan proses siasatan lanjut berikutan kita mengesyaki berlaku pengambilan keuntungan berlebihan melalui analisis awal yang telah dijalankan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Muhammad Zikril Azan berkata pihaknya juga menerima sejumlah 114 aduan berkaitan kenaikan dan penandaan harga serta kesukaran mendapatkan barangan keperluan bermula 1 Jan lepas hingga semalam.

"Tindakan ke atas aduan yang diterima berkaitan harga barangan diberi keutamaan dan diselesaikan dalam tempoh 24 jam," katanya.

Dalam pada itu, Muhammad Zikril Azan berkata sebanyak 11 kes melibatkan kesalahan penandaan harga hingga semalam direkodkan pihaknya susulan Op Pantau yang sedang dijalankan di seluruh negeri bermula April ini hingga bulan depan.

"KPDNHEP Selangor telah menjalankan pemeriksaan ke atas 4,064 premis serta gerai jualan dan mendapati terdapat segelintir peniaga yang masih ingkar dalam membuat penandaan harga ke atas barangan jualan terutamanya di bazar serta pasar awam," katanya.

Beliau berkata pengguna di Selangor yang ingin menyalurkan aduan berhubung harga dan barang keperluan boleh melayari portal [email protected], e-mel [email protected], menghubungi pusat panggilan 1800 886 800 atau WhatsApp 019- 279 4317.

Di PULAU PINANG, Pengarah Penguat Kuasa KPDNHEP Azman Adam berkata satu pasukan khas dibentuk bagi memantau harga ayam segar dengan memberi fokus kepada peringkat pengeluar dan pemborong ayam susulan laporan mengatakan berlaku kenaikan harga.

Beliau berkata pihaknya sudah memulakan Operasi Pantau bagi meninjau harga barangan pada musim perayaan ini sejak 13 April lepas di seluruh negara.

"Memandangkan banyak rungutan berkaitan kenaikan harga ayam, kita telah tubuhkan satu pasukan khas dan telah mengeluarkan 40 notis kepada pengeluar termasuk peladang dan pengilang, manakala 24 notis ke peringkat pemborong.

"Selepas notis-notis ini dikeluarkan, kita akan berikan mereka masa untuk membekalkan maklumat yang kita perlukan dan selepas itu baru kita akan buat keputusan sama ada mereka ini membuat kesalahan di bawah Seksyen 21, Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011," katanya kepada pemberita selepas membuat tinjauan harga di Pasaraya Lotuss Tanjung Pinang di George Town.

Individu yang didapati bersalah boleh didenda sehingga RM100,000 atau dipenjara tidak melebihi tiga tahun manakala bagi syarikat pula, pihak terlibat boleh didenda sehingga RM500,000.

Turut hadir Ketua Pegawai Penguat kuasa KPDNHEP Negeri Pulau Pinang Peter J. Berinus Agang.

Mengulas tentang aduan kenaikan harga ayam, Azman berkata pihaknya telah menerima 15 aduan seluruh negara melalui e-Aduan KPDNHEP sejak 13 April hingga semalam.

"KPDNHEP akan mengambil tindakan tegas kepada mana-mana peniaga yang menaikkan harga tanpa sebab munasabah," katanya.

-- BERNAMA