Pelantikan Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Idrus Harun sebagai Peguam Negara dapat memulihkan kemerosotan moral Pejabat Peguam Negara sejak dua tahun lalu.

Menurut Peguam yang juga Pengasas Pergerakan RAPERA, Datuk Seri Jahaberdeen Mohamed Yunoos, Idris merupakan seorang yang berintegriti, bebas, rendah diri dan berteraskan prinsip keadilan.

“Beliau boleh menjalankan tugasnya dengan cekap dan mendakwa dengan penuh belas kasihan, ini merupakan langkah yang betul diambil oleh Kerajaan Perikatan Nasional.

“Idrus telah berkhidmat hampir 40 tahun, beliau mempunyai pengalaman luar biasa dalam Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan menjadikannya pilihan terbaik untuk jawatan itu," katanya kepada Astro AWANI, pada Sabtu.

Mengulas lanjut, Jahaberdeen berkata, Idrus mengenali kakitangan di Pejabat Peguam Negara dan kehadirannya di situ adalah waktu terbaik untuk jawatan tersebut.

“Beliau bukan sahaja dikenali dengan sikap yang tenang, malah seorang hakim yang bijak dan tegas dalam keyakinannya melakukan perkara yang betul, seorang yang disukai, tidak ego, rendah diri dan kesemua sifat ini sangat sukar dicari.

“Inilah ciri-ciri yang menjadikan Pejabat Peguam Negara melaksakan pendakwaan bukan sahaja tegas tetapi dengan penuh kasih sayang.

“Ada yang dilantik untuk hanya sekadar menjadi ketua jabatan tetapi egonya lebih tinggi daripada KLCC, Idrus bukan individu seperti itu,” jelasnya.

Pandangan yang sama dilontarkan Presiden Persatuan Pemeriksaan Penipuan Bertauliah Malaysia, Datuk Seri Akhbar Satar yang menyatakan lantikan Idrus adalah keputusan tepat oleh Kerajaan Perikatan Nasional.

“Beliau mempunyai kredibiliti dan integriti yang tinggi malah tidak akan dipengaruhi oleh mana-mana parti politik mahupun kerajaan pemerintah.

“Pengalaman yang luas dalam bidang kehakiman dan perundangan serta hubungan rapat dengan agensi penguatkuasa seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga menjadikan beliau sesuai dilantik Peguam Negara,” jelas beliau.

Akhbar turut berpendapat bahawa seharusnya jawatan penting dalam agensi penguatkuasa dan pelaksana undang-undang tidak diberikan kepada ahli politik.

“Ini kerana ia akan menjejaskan kebebasan sesebuah agensi itu dan apabila berlaku pertukaran kerajaan, jawatan tersebut sudah semestinya akan dikosongkan,” tambahnya.

Tan Sri Idrus Harun dilantik sebagai Peguam Negara baharu untuk tempoh dua tahun berkuat kuasa mulai hari ini, menggantikan Tommy Thomas yang melepaskan jawatan itu pada 28 Februari lalu.