Indonesia menjadi destinasi pertama Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam memulakan lawatan rasmi ke negara-negara di Asia Tenggara selepas menyandang jawatan itu buat kali kedua pada 10 Mei 2018 yang lalu.

Beliau yang ditemani isteri, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd Ali dijangka tiba di Lapangan Terbang Halim Perdanakusuma di sini pukul 6 petang waktu tempatan Rabu.

Sejurus tiba, beliau dijadual mengadakan perjumpaan dengan rakyat Malaysia di sini dalam sebuah majlis di Kedutaan Malaysia.

Acara kemuncak adalah pada Jumaat apabila berlangsungnya pertemuan empat mata antara Mahathir bersama Presiden Indonesia, Joko Widodo atau mesra dipanggil Jokowi di Istana Bogor disusuli majlis makan tengahari yang dihoskan Jokowi.

Kedua-dua ketua negara itu turut dijadual mengadakan sidang media bersama sebelum menunaikan solat Jumaat di Baitusallam, Istana Bogor.

Menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Luar, lawatan itu dilihat akan membuka peluang untuk kedua-dua pemimpin memperkasakan hubungan dua hala dan kerjasama yang sedia ada di antara Malaysia dan Indonesia.

“Lawatan ini juga membolehkan Malaysia mengetengahkan dasar-dasar terkini kerajaan dan pendirian negara khususnya berkenaan isu-isu yang mempunyai manfaat bersama.

“Di samping itu, kedua-dua pemimpin juga akan turut bertukar pandangan mengenai isu-isu serantau dan global yang mempunyai kepentingan bersama terhadap Malaysia dan Indonesia,” memetik kenyataan itu.

Indonesia merupakan salah sebuah negara jiran yang paling rapat dan terpenting untuk Malaysia.

Pada tahun 2017, jumlah perdagangan dua hala yang direkodkan adalah sebanyak RM72.63 billion menyaksikan pertumbuhan sebanyak 22 peratus berbanding tahun 2016 dan menjadikannya sebagai rakan dagang ketujuh terbesar Malaysia di peringkat global dan yang ketiga terbesar di kalangan negara-negara anggota ASEAN selepas Singapura dan Thailand.