Ketagihan bahan pornografi merupakan salah satu masalah seksual yang perlu dipandang serius kerana ia lebih parah daripada dadah.

Itu dakwaan yang disuarakan oleh aktivis sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Malaysians Against Pornography, Fadhli Othman, ketika dihubungi Astro AWANI, hari ini.

Jelas beliau, dadah sukar didapati dan harganya pula mahal, tetapi bahan-bahan pornografi pula mudah diakses, murah, serta memberi kesan terhadap tingkah laku serta otak seseorang.

BACA: Kesan ketagihan pornografi kepada otak sama seperti mengambil kokain

“Aktiviti bersama komuniti dan ‘Teknik Tujuh’ mampu merawat masalah ketagihan pornografi,” kata beliau.

Jelasnya, seseorang perlu aktif dengan aktiviti luar bersama komuniti seperti bersenam, bermain futsal, atau bermain permainan video asalkan tidak dilakukan seorang diri.

Bagi 'Teknik Tujuh', seseorang pesakit perlu berdisiplin agar hanya menonton satu video lucah selama seminggu dalam masa sebulan.

Bagi bulan berikutnya, individu tersebut perlu menurunkan kadar menonton video lucah sehinggalah ketagihan itu dapat dirawat secara berperingkat.

BACA: Ingat, video lucah bukan hiburan! - Pakar kriminologi

“Ketika tahap 'bertahan', seseorang perlu menguatkan diri dan disiplin kerana pada peringkat ini, pelbagai ujian akan ditempuh seperti demam, badan menggeletar, dan sebagainya,” ujar beliau yang juga seorang guru Pendidikan Islam di Sekolah Kebangsaan Jubli Intan di Renggam, Johor Bahru.

BACA: Padah simpan video dan gambar lucah, pekerja kilang didenda RM7,000

Tambahnya, perkahwinan tidak mampu merawat ketagihan pornografi malah seseorang yang mempunyai masalah itu mempunyai kecenderungan untuk mencuba ‘aksi seksual’ bersama anaknya selepas berkahwin.

Bagi Pakar Psikologi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Madya Dr Nor Ba’yah Abdul Kadir, seseorang yang tidak mampu merawat secara sendiri, rawatan klinikal melalui pakar psikologi perlu dijalankan.

“Teknik kognitif tingkah laku boleh membantu individu yang ketagih supaya memahami manfaat tidak menonton video lucah dan berfikiran secara rasional,” kata beliau.

Beliau turut menambah, individu yang sudah berkahwin perlu menjalani terapi keluarga bersama pasangan masing-masing bagi mengembalikan keyakinan pada diri dan mengurangkan perasaan malu serta rasa bersalah.

Katanya lagi, melakukan pelbagai aktiviti luar yang bermanfaat dan mengamalkan puasa dapat membantu merawat ketagihan pornografi.