Seorang bilal masjid antara 39 individu yang ditahan dalam Operasi Perdana Perangi Dadah Habis-Habisan 2.0 Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Perak di sekitar Sitiawan hari ini.

Penolong Pengarah Penguatkuasaan AADK Negeri, Mokhtaruddin Mohamad berkata, bilal masjid berusia 50-an yang menghidap sakit buah pinggang itu ditahan ketika leka membeli dadah jenis Methamphetamine atau Syabu di sebuah 'port' penagihan di Sungai Tiram, Lekir pada awal pagi ini.

“Melalui hasil siasatan kita, dia memang mengaku pergi ke kawasan itu untuk membeli dadah tersebut, sebaik sahaja mengerjakan solat Subuh di masjid berdekatan.

“Kita juga telah merampas wang yang digunakan dalam urusan jual beli itu dan dadah tersebut,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI.

Dalam operasi yang dilakukan bermula jam 9 malam Selasa sehingga 10 pagi Rabu itu, seramai 39 individu berusia antara 15 dan 54 tahun telah ditahan kerana terlibat dalam penggunaan pelbagai jenis dadah.

Menurut Mokhtaruddin, saringan awal ujian air kencing yang dibuat terhadap bilal itu mendapati suspek positif dadah jenis Syabu.

"Kita dapat menahan bilal ini selepas mengadakan risikan di 'port' tersebut sejak beberapa minggu sebelum ini," katanya, sambil menambah, dia kini disiasat di bawah Seksyen 3 (1) Akta Penagihan Dadah 1983. .

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, pihaknya turut telah menahan seorang ibu berusia 42 tahun dan anak lelakinya berusia 15 tahun.

“Mereka ditahan di rumah selepas orang awam membuat aduan. Kedua-dua mereka selepas diperiksa didapati positif dadah jenis Syabu.

“Ibu dan anak tidak tahu masing-masing hisap dadah, bila dah ditangkap baru mereka tahu. Ibu pula memberi alasan guna dadah ini untuk kuruskan badan,” jelas beliau.