Seorang lelaki yang disyaki lemas ketika mencari siput di Jambatan Kampung Tebuk, Kampung Baru di sini semalam, ditemui terapung di sekitar pokok bakau dengan jarak 100 kaki dari tempat kejadian pada Ahad.

Mangsa yang dilaporkan hilang petang Sabtu dipercayai mencari siput di kawasan tersebut bersama-sama dengan seorang lelaki lain.

Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, mereka menerima maklumat mengenai kejadian itu pada 4.43 petang semalam dan operasi mencari diteruskan sehingga pagi Ahad.

"Mangsa dipercayai bersama-sama seorang lelaki lain sedang mencari siput di kawasan itu, mangsa dijumpai terapung sekitar pokok bakar dengan jarak 100 kaki dari tempat kejadian.

"Pasukan bomba yang tiba di tempat kejadian diarahkan oleh komander operasi membuat tindakan operasi menggunakan sebuah bot, operasi pencarian di permukaan dilakukan di kawasan disyaki mangsa lemas," katanya.

Operasi yang bermula sejak petang semalam itu berakhir pada 10 pagi tadi.