Angkara memandu melawan arus, seorang lelaki maut apabila kereta dipandunya bertembung dengan sebuah van dalam kejadian di Jalan Tuaran Bypass, Manggatal, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi itu, mangsa dikenali sebagai Yong Yuk Khen, 34 tahun, meninggal dunia di lokasi kemalangan selepas mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan badan akibat tersepit di dalam kenderaannya.

Sementara itu, pemandu van jenis Nissan Urvan, lelaki berusia 44 tahun, patah paha kanan dan kini dirawat di Hospital Queen Elizabeth (HQE), di sini.

Dua penumpang van tersebut, wanita berusia 21 dan 36 tahun, walau bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Keadaan van Nissan Urvan yang terbabit kemalangan di Jalan Tuaran Bypass pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner M Chandra berkata dalam kejadian itu, pemandu van tersebut sedang memandu dari arah kawasan Manggatal menuju ke Kota Kinabalu manakala pemandu Toyota Vios pula dikatakan memasuki laluan bertentangan.

Sebaik tiba di lokasi kejadian, pemandu van itu tidak sempat mengelak Toyota Vios tersebut yang disyaki memandu laju lalu berlaku pertembungan di antara kedua-dua kenderaan berkenaan.

Mangsa Yong Yuk Khen, 34 tahun, meninggal dunia di lokasi kemalangan selepas mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan badan akibat tersepit di dalam kenderaannya.
"Kemalangan berlaku apabila pemandu van dari arah Manggatal menuju ke Kota Kinabalu. Apabila sampai di Jalan Tuaran (lokasi kemalangan), tiba-tiba pemandu Toyota Vios yang datang dari arah bertentangan telah terlanggar bahagian depan van itu.

"Akibat daripada kemalangan tersebut, pemandu Toyota Vios itu disahkan meninggal dunia di lokasi kemalangan manakala pemandu van yang patah paha kanan sudah dibawa ke hospital berdekatan untuk rawatan kecemasan," katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dengan cuai sehingga menyebabkan kemalangan maut.