Tindakan lima lelaki yang dipercayai nekad terjun ke dalam sungai ketika cuba melarikan diri sewaktu serbuan ke pusat judi sabung ayam pada Jumaat lalu ditemui lemas di Sungai Muda, Kuala Ketil, Kedah.

Mayat kesemua mangsa itu ditemui terapung dan tersangkut pada pukat orang awam kira-kira pukul 9 pagi sebelum memaklumkan perkara itu kepada pihak polis.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah Senior Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid, hasil pemeriksaan mendapati empat daripada mangsa telah dikenal pasti identiti manakala satu lagi masih belum diketahui ekoran tiada dokumen pengenalan diri ditemui.

"Penemuan mayat itu mempunyai kaitan dengan tindakan sekumpulan kaki judi yang lari bertempiaran dan nekad terjun ketika pasukan polis membuat serbuan ke atas pusat judi sabung ayam terbesar di ladang kelapa sawit itu pada Jumaat lalu.

Pasukan bomba dan penyelamat cuba membawa naik mayat mangsa.

"Kelima-lima mayat kemudian dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar untuk bedah siasat," katanya.

Tambah Mior Faridalathrash, pihaknya terpaksa meminta bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Kedah bagi membantu mengeluarkan kesemua mayat.

Menerusi serbuan itu 77 lelaki berusia antara 17 hingga 60 tahun ditahan ketika sedang leka bertaruh.