Susulan cadangan Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk membuka semula kertas siasatan terhadap 12 rakyat Malaysia yang didakwa terbabit dalam aktiviti berkaitan kumpulan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) yang digugurkan sebelum ini, perkara itu dilihat sukar untuk dilaksanakan.

Menurut pandangan Pengasas Rakyat Penyelamat Negara (RAPERA) Datuk Seri Jahaberdeen Mohamed Yunoos yang juga seorang peguam, ia berikutan keputusan dibuat mahkamah sebelum ini telah membebas dan melepaskan tertuduh.

“Dalam kes ini, terdapat dua keadaan. Pertama, bagaimana pihak mereka (KDN) ingin semak semula, saya tidak tahu apa proses yang mereka akan ambil, tetapi kebiasaannya jika individu itu sudah dilepaskan dan dibebaskan, saya percaya tidak ada rayuan yang boleh dibuat terhadapnya.

“Kedua, saya juga percaya dari segi undang-undang mereka tidak boleh dituduh kembali, melainkan jika yang dituduh itu telah dilepaskan tanpa dibebaskan.

“Kalau kita rujuk kepada Kanun Tatacara Jenayah juga, Seksyen 302 (1), dengan jelas memperuntukkan bahawa, tertuduh yang telah dilepas dan dibebaskan tidak boleh dibicarakan lagi dengan kesalahan sama mahupun fakta yang sama, terhadap kesalahan yang lain, jadi itu peruntukan undang-undang yang sangat jelas,” katanya kepada Astro AWANI ketika dihubungi.

Jahaberdeen berkata demikian mengulas kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin, pada Khamis bahawa kementerian itu akan mengadakan perbincangan bersama agensi berkaitan untuk menyemak semula keputusan bekas Peguam Negara yang tidak meneruskan prosiding perbicaraan terhadap 12 individu dikaitkan dengan kumpulan LTTE.

BACA: Pengguguran kes LTTE akan disemak semula - KDN

Bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas sebelum ini memutuskan untuk tidak meneruskan prosiding terhadap 12 tertuduh yang dikaitkan dengan kumpulan LTTE.

Thomas menjelaskan keputusan beliau menggugurkan kesemua 34 pendakwaan terhadap kesemua 12 tertuduh dikaitkan dengan LTTE setelah membuat keputusan bahawa tiada prospek jelas untuk sabitan terhadap mereka.

BACA: LTTE: Peguam Negara hentikan prosiding terhadap 12 tertuduh serta merta


Namun, sehari selepas keputusan dibuat, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang ketika itu Menteri Dalam Negeri, mengeluarkan kenyataan mengatakan bahawa Kumpulan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) masih lagi diklasifikasikan sebagai kumpulan pengganas oleh kerajaan Malaysia sejak 12 November 2014.

Katanya, beliau mempunyai asas yang kukuh untuk mengekalkan status kumpulan itu berdasarkan maklumat perisikan dan keselamatan terkini daripada pihak berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan lain-lain agensi kawal selia atau pengawasan yang berkaitan.

BACA: Jangan campur tangan, LTTE kekal kumpulan pengganas - Muhyiddin

Diminta mengulas mengenai bidang kuasa Peguam Negara untuk membuka semula kertas siasatan itu, Jahaberdeen berpendapat jika ingin dibuka semula atas fakta dan kesalahan pertuduhan yang sama, ia disifatkan sebagai sia-sia.

“Dia berbalik kepada persoalan pertuduhan semula itu atas kesalahan apa, berdasarkan fakta dan kesalahan yang mana dan jika ia fakta yang sama, maka ia seperti satu kerja yang sia-sia dan kalau itu keadaannya, maka tidak boleh.

“Peraturan, undang-undang perlu jelas dan mempunyai satu kesudahan tetapi jika ingin buka semula setakat ingin mengkaji, maka itu memang boleh,” jelasnya.

Beliau, bagaimanapun yakin bahawa kes itu sudah tamat berdasarkan keputusan yang telah ditetapkan mahkamah.

“Saya lihat kes ini sudah tamat kerana orang yang disabitkan dengan kesalahan tidak boleh dituduh sekali lagi dengan kesalahan yang sama dan pada nada yang sama, orang yang telah dilepaskan dan dibebaskan juga tidak boleh dituduh balik atas kesalahan yang sama.

“Jadi, akhirnya undang-undang itu bersifat ‘certainty’ (ada kepastiannya),” katanya.

BACA: LTTE: Lapan lelaki termasuk ADUN Gadek bebas

BACA: LTTE: ADUN Seremban Jaya, P. Gunasekaren lepas bebas