Syarikat penerbangan Malaysia Airlines dan AirAsia tampil memberi bantuan kepada penumpang Rayani Air yang terjejas akibat penggantungan operasi syarikat patuh syariah itu.

Malaysia Airlines dalam satu kenyataan berkata penumpang yang terjejas boleh membuat tempahan semula dan diskaun akan ditawarkan untuk tambang perjalanan mereka.

Penawaran diskaun berkenaan bermula Isnin, 11 April sehingga 30 April 2016 dan sah bagi perjalanan sehingga 31 Julai 2016.

Ketua Pegawai Komersial MAB Paul Simmons berkata, sebagai syarikat penerbangan negara, adalah menjadi tanggungjawab mereka untuk menghulurkan bantuan untuk meringankan beban penumpang yang terjejas.

Bagi menikmati diskaun tersebut, penumpang Rayani Air perlu menampilkan e-mel sebagai bukti tempahan penerbangan dengan Rayani Air.

Sebarang maklumat lanjut, penumpang boleh menghubungi talian 1300 88 300 atau kunjungi mana-mana kaunter MAB di seluruh negara.

Dalam pada itu, AirAsia turut menawarkan diskaun 50 peratus bagi penumpang Rayani Air yang tiketnya dibatalkan.

Tiket ini boleh digunakan untuk perjalanan dari atau ke Kuala Lumpur, Langkawi, Kota Bharu, Kuching dan Kota Kinabalu dari 11 hingga 27 April 2016.

Diskaun boleh digunakan oleh semua penumpang Rayani Air yang sudah mengesahkan tempahan penerbangan.

Penumpang boleh mengemukakan tiket penerbangan Rayani Air di cawangan Air Asia Travel and Service Centre.

Ketua Komersial Air Asia Berhad, Spencer Lee berkata beliau berharap diskaun ini dapat memudahkan urusan perjalanan penumpang Rayani Air.