Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan sekiranya jenayah rasuah dianggap ringan, Malaysia berkemungkinan menjadi sebuah negara perasuah.

Menurut Dr Mahathir, apabila ramai yang menganggap rasuah bukan sebagai satu jenayah yang buruk, maka ia akan berkembang sehingga menjadi amalan seluruh masyarakat.

"Sikap kita terhadap jenayah rasuah tidak seperti sikap kita kepada lain-lain jenayah.

"Kita pandang ringan kepada rasuah sehingga jika disogok kita orang biasa sanggup terima.

"Kita tidak berasa bersalah atau malu menerima walaupun diketahui orang. Apalah sangat kesan dari perbuatan kita.

"Tetapi jika diambil kira kesan terhadap pemerintahan, rasuah tetap akan menghalang proses pentadbiran negara.

"Negara tetap tidak akan maju. Di waktu ini semua rakyat akan jadi mangsa amalan rasuah," kata beliau yang dipetik daripada blog miliknya pada Khamis.

Sumber Facebook TunDrMahathir

Ahli Parlimen Langkawi itu turut menyentuh perihal rasuah yang lazimnya melibatkan khidmat kerajaan.

Jelasya, segala urusan memerlukan kelulusan daripada keerajaan, sekali gus memberi peluang (dan kuasa) kepada pegawai dan kakitangan yang bertugas menuntut sagu hati untuk khidmat biasa mereka.

"Walaupun undang-undang boleh dikenakan kepada mereka yang menerima sagu hati, tetapi keengganan penerima melapor menjadikan undang-undang tidak berkesan.

"Yang boleh menghapus rasuah ialah sifat yang ada pada kita ... menolak rasuah sebagai jenayah yang amat buruk dan hina dan perlu ditolak," ujarnya.

Dalam pada itu, Dr Mahathir turut memberitahu bahawa kuasa mengundang rasuah mengakibatkan rakyat sebagai pengundi terdedah kepada jenayah itu.

"Undi menentukan menang atau kalah seseorang calon.

"Apabila kerajaan terdiri daripada orang yang baik, iaitu tidak terima rasuah, maka negara akan maju dan pengundi akan dapat banyak nikmat.

"Segala urusan dengan kerajaan menjadi mudah, kos akan berkurangan dan masa tidak dibazirkan.

"Tetapi orang yang ingin merebut kuasa kerajaan untuk kepentingan diri sendiri akan melihat pemilihan wakil rakyat sebagai cara untuk mendapat kuasa kerajaan melalui rasuah.

"Sepatutnya pengundi tidak akan undi calon yang tidak baik jika mereka tahu calon itu tidak baik.

"Tetapi jika calon tidak baik, menghulur wang, besar kemungkinan ramai pengundi ketepikan pentadbiran yang baik dan kemajuan negara.

"Mereka akan terima sogokan. Setelah menerima sogokan, mereka akan beri undi kepada penyogok.

"Lebih banyak wang yang didapati lebih bersedialah pengundi memberi undi kepada perasuah," katanya.

Tambahnya, jika rakyat menentang kerajaan perasuah ini, maka rakyat pun akan disogok dengan wang termasuk Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan pelbagai pemberian wang percuma.

Apabila kerajaan dikuasai oleh perasuah, kepentingan negara dan rakyat akan diketepikan.