Kedai makan dan restoran 24 jam bukanlah punca masalah sosial. Sebaliknya, punca masalah sosial adalah disebabkan sikap individu itu sendiri.

Itu antara pandangan yang dikongsikan warga kota di segi tiga emas Kuala Lumpur kepada Astro AWANI.

"Yang menyebabkan masalah sosial tu adalah individu tu. Kalau dia datang nak makan, apa nak berlaku dengan masalah sosial," kata Mohd Azlan Mohd Jalaluddin.

"Tengok macam mana kehidupan dia. Kalau dia pergi kelab malam minum (memabukkan) lepas tu datang kedai mamak, jadi bukan restoran mamak ni yang merosakkan hidup dia," tegasnya.

Bagi Mohd Sabri Abdul Rahman, dia bersetuju dengan pandangan Mohd Azlan sekaligus mengibaratkan restoran mamak dijadikan sebagai kambing hitam.

"Dah mabuk-mabuk nak balik, (kemudian) lepak kedai mamak dulu.

"Jadi itu isu bagi saya, kalau nak tutup, lebih baik tutup kelab malam lagi terbaik.

"Bukan kedai mamak. Kedai mamak jadi umpama macam kambing hitam sahaja lah," ujarnya.

Selain menyifatkan kelab malam merupakan punca utama tercetusnya masalah sosial di restoran 24 jam, ada juga yang menzahirkan pandangan berbeza.

Seorang guru, Raja Ruzlin Raja Ariffin berkata: "Kalau misalnya dari segi diet sihat, memang baguslah tutup awal baru rakyat Malaysia tahu malam-malam ni tak elok makan banyak sangat.

"Tapi baguslah juga. Macam bulan puasa ni nak sahur. Pelajar ke golongan muda senang nak pergi makan.

"Macam kami, waktu malam kalau lapar cari juga mamak depan rumah," ulasnya.

Sebelum ini, akhbar melaporkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim sebagai berkata bahawa mesyuarat Majlis Sosial Negara (MSN) akan membincangkan cadangan untuk mengehadkan waktu operasi kedai makan sehingga 12 tengah malam sebagai langkah membendung gejala sosial.

Walau bagaimanapun, semalam Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata kerajaan membuat keputusan untuk mengekalkan operasi restoran dan kedai makan 24 jam bagi memberi keselesaan dan kemudahan kepada orang ramai.

BACA: Operasi restoran 24 jam kekal - Najib