Assalamualaikum WBT.

Soal perkembangan sistem pendidikan negara tidak akan pernah tamat untuk dibicarakan. Sebagai salah seorang yang terlibat secara langsung dalam dunia pendidikan, saya berasa terpanggil untuk mengemukakan komentar berkenaan isu ini. Ramai dalam kalangan kita membicarakan hal ehwal dari pelbagai dimensi.

Di sini saya suka mengemukakan komentar dari sisi seorang pendidik di sekolah. Pertama, pada pandangan saya, pada masa kini, sistem pendidikan negara bergerak semakin pantas sepantas kemajuan teknologi di peringkat global. Malangnya, guru-guru yang menjadi nadi penggerak dan agen penjana enjin keilmuan murid di sekolah tidak mampu bergerak selaju perkembangan itu.

Sebagai contoh, ramai dalam kalangan guru tidak mahir ICT dan buta teknologi. Mereka terkial-kial untuk melayari internet dan mengaplikasikan pelbagai sistem dan aplikasi yang mula digunakan dalam sistem pendidikan negara. Bagi guru muda yang masih 'fresh' dan sudah didedahkan dengan teknologi sedemikian, mereka tidak menghadapi masalah. Tetapi, bagi guru-guru senior yang umurnya melebihi 50 tahun, perkara ini dirasakan menyusahkan mereka. Perkara ini wajar diambil perhatian oleh pihak yang bertanggungjawab.

Hal ini juga menjadi kekangan dan menimbulkan 'stress' dalam kalangan guru senior. (Mungkin juga menjadi penyebab ramai guru mendapat penyakit jantung, darah tinggi dan stroke). Contohnya pelaksanaan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) yang memerlukan perkembangan murid direkodkan dalam sistem secara online menyebabkan ramai guru senior merungut.

Apa alasan sekalipun, reti atau tidak mereka perlu menyiapkan pelbagai tugasan dan kerja-kerja yang melibatkan penggunaan teknologi ini. Beban yang mereka pikul ini biasanya diselesaikan dengan cara membawa pulang kerja dan menyerahkannya kepada anak-anak atau mengupah orang yang 'reti' teknologi. Saya fikir hal ini perlu dipandang serius oleh pihak kerajaan dan mencari jalan penyelesaian.

Kedua, secara realitinya, di sekolah pelbagai aktiviti dan program dirancang dan dilaksanakan. Tiga bidang utama di sekolah iaitu akademik, hal ehwal pelajar dan kokurikulum memerlukan pelbagai aktiviti dilaksanakan. Keutamaan biasanya diberikan kepada bidang akademik demi memastikan murid-murid dapat menguasai isi kandungan mata pelajaran dengan baik. Namun demikian, bidang HEM dan KoKo juga berlumba-lumba merealisasikan jadual tahunan mereka. Jadual tersebut termasuk pelbagai jenis pertandingan, sukan, kem motivasi yang kesemuanya memerlukan penglibatan secara langsung guru-guru.

Penglibatan itu tentulah memerlukan penggunaan masa belajar dan wang ringgit. Penggunaan masa itu menyebabkan guru-guru yang terlibat terpaksa meninggalkan kelas dan waktu mengajar mereka. walaupun ada kerja yang ditinggalkan kepada murid yang ditinggalkan di kelas dan ada guru yang relief, ia tidak sama dengan masa guru ada di kelas. Kesannya, rancangan mengajar harian, mingguan dan tahunan guru sudah lari dari perancangan asal. Semakin banyak aktiviti, maka semakin sedikitlah waktu hakiki guru bersama murid d ikelas.

Hal ini memberi tekanan kepada para guru terutama untuk menghabiskan silibus bagi setiap mata pelajaran.(Apabila ada kes-kes tertentu, ada sahaja cadangan daripada oarng ramai untuk menambah itu dan ini di sekolah, padahal yang dilaksanakan di sekolah sudah terlebih cukup untuk para pelajar dan memeningkan guru-guru ).

Sebenarnya, masa yang paling baik dan efektif pada waktu persekolahan ialah apabila banyak masa guru bersama murid bersama-sama di dalam kelas dan melakukan aktiviti pengajaran dan pembelajaran. Namun demikian, masa emas tersebut kini telah dicuri dengan pelbagai program yang bertubi-tubi dilaksanakan oleh pelbagai pihak di sekolah. Mungkin kerana hal ini, ramai ibu bapa menghantar anak-anak ke kelas tuisyen demi memantapkan pengetahuan dalam setiap mata pelajaran apatah lagi bagi anak-anak yang bakal menghadapi peperiksaan. Hal ini perlu difikir kan bersama dan cadangan memantapkan perancangan tahunan sekolah wajar dijadikan isu untuk dibincangkan.

Ketiga, beban tugas guru terhadap bidang tugas mereka perlu diambil perhatian. Kini, bidang perguruan telah dinaiktaraf oleh pihak kerajaan dengan memperkenalkan pelbagai insentif. Namun demikian, beban tugas mereka turut bertambah. Ekoran penggunaan teknologi ICT di sekolah, serta pelbagai program yang dirancang awal atau yang perlu dilaksanakan secara ad hoc, menyebabkan beban guru bertambah. Hal ini sebenarnya berkait rapat dengan dua perkara di atas.

Keempat, jumlah guru ramai namun perjawatan mereka terhad menyebabkan ramai yang mempunyai bakat, kebolehan, dedikasi dan cemerlang dipingirkan dan hanya menjadi guru biasa. Seingat saya, dalam bajet dua tahun lepas, ada dinyatakan jawatan-jawatan baharu dalam bidang perguruan seperti PENDETA GURU dan lain lain (yang saya sendiri sudah ingat-ingat lupa).

Hal inilah yang lama-kelamaan melenyapkan minat guru dan menjadikan mereka golongan 'kecewa' dan yang memilukan ada di antara mereka memilih untuk menentang kerajaan. Perkara ini walaupun nampak remeh akan tetapi ia seperti virus kanser yang mampu merosakkan sistem pendidikan dari dalam sedikit demi sedikit. Banyak lagi komentar yang ingin saya kemukakan namun keterbatasan waktu menyebabkan saya perlu menoktahkan komentar ini hanya setakat ini.

Salam dari pendidik pantai timur.

----------------------------------------------------------

*Penulis adalah seorang pendidik dan pembaca setia Astroawani.com

*Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI.