Bagi memberi kesedaran dan mendidik penduduk melakukan kitar semula, Syarikat konsesi SWM Environment Sdn Bhd (SWM Environment) mengadakan jelajah KitaR3cycle di sekitar daerah ini.

Jelajah yang bermula 14 Oktober itu melibatkan lima taman perumahan sebelum diperluaskan lagi di kawasan lain.

Pengurus Wilayah SWM Environment Melaka & Negeri Sembilan, Dr Al’Ashari Othman berkata, jelajah ini memberi penekanan kepada penduduk setempat agar menggunakan sangkar kitar semula yang disediakan di kawasan perumahan mereka dengan lebih efisien.

"Kita adakan jelajah ini bagi menyampaikan maklumat yang tepat berkenaan tatacara pengurusan barang kitar semula dengan betul bagi memastikan penduduk menerima manfaat daripada amalan kitar semula yang dilakukan di rumah.

"Setiap barangan yang dibuang perlu diasingkan mengikut kategori yang sesuai, sekali gus mendidik masyarakat melakukan kitar semula. Kita juga menggalakkan orang ramai berdaftar dengan sistem KitaR3cycle untuk mengumpul mata ganjaran bagi setiap barang yang dikitar semula,"katanya.

Al'Ashari berkata, melalui sistem itu, penduduk hanya perlu menampal kod bar yang disediakan oleh pihak syarikat iCycle, selaku rakan strategik KitaR3cyle di atas beg plastik barang kitar semula dan meletakkannya di dalam sangkar kitar semula yang disediakan oleh pihak SWM Environment.

Katanya, nilai mata kitar semula yang terkumpul boleh ditukarkan kepada baucar atau barangan yang sama nilainya daripada Syarikat iCYCLE.

"Pemberian mata ganjaran diberi kepada 35 jenis barangan kitar semula antaranya seperti tin aluminium, plastik dan kertas.

"SWM Environment juga akan menimbang dan melakukan kutipan sisa kitar semula di sangkar kitar semula KitaR3cycle sebagai tujuan perekodan sisa kitar semula yang telah dikumpulkan. Sisa yang telah dikutip akan dihantar ke pusat rawatan sisa kitar semula SWM Environment bagi tujuan pengasingan mikro," katanya.

Antara taman perumahan yang terlibat bagi fasa permulaan program ini ialah Taman Bukit Chedang Fasa 1, Taman Arowana Indah, Seremban 2, Taman Sri Pulai Fasa 1, Seremban, Taman Impiana Residence, Nilai dan Park Residence, Bandar Springhill, Port Dickson.