SEREMBAN: SWM Environment Sdn Bhd (SWM Environment) menyeru orang ramai untuk membilas dan mengitar semula bekas plastik yang menjadi bahan pembungkus makanan dan minuman bagi mengurangkan janaan sisa itu sepanjang Ramadan.

Pengurus Besar Korporatnya Mohd Norlisam Mohd Nordin berkata ia antara inisiatif pengurangan penggunaan plastik sekali guna, selain membawa bekas makanan dan minuman sendiri ke bazar Ramadan.

"Amalan tersebut seiring dengan amalan jimat cermat dan bersederhana selain dapat memulakan amalan gaya hidup hijau dalam menyambut Ramadan.

"Selain itu, sisa plastik yang dibilas boleh dikitar semula juga dapat memberikan insentif pulangan tunai kepada orang ramai melalui program kitar semula, KITARecycle," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata sebanyak 13,169 kilogram sisa plastik berjaya dikumpul setakat Februari lepas menerusi KITARecycle di negeri ini, termasuk daripada ahli program itu yang menggunakan fasiliti Pusat Pandu Lalu KITARecycle di agensi kerajaan dan swasta.

Mohd Norlisam berkata program tersebut bukan sahaja memberi peluang kitaran ekonomi setempat, namun turut membantu negara mencapai kadar kitar semula sebanyak 40 peratus menjelang 2025.

Beliau berkata penggunaan plastik sekali guna dalam kalangan orang ramai perlu diberi perhatian serius kerana bahan plastik adalah antara bahan yang sukar dan memerlukan tempoh yang panjang untuk terurai serta menyumbang kepada janaan sisa mikroplastik.

"Mengikut kajian komposisi sisa pepejal oleh SWCorp pada 2020, sebanyak 22.7 peratus sisa plastik dijana orang ramai manakala sisa makanan (34.5 peratus) dan lampin (12.8 peratus)," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata orang ramai yang mengitar semula plastik boleh menyertai program kitar semula berdigital KITARecycle dengan penebusan mata ganjaran kepada wang tunai, secara dalam talian.

Mereka hanya perlu memuat turun aplikasi KITARecycle di telefon pintar atau melayari https://portal.kitarecycle.com dan mendaftar sebagai ahli secara percuma, katanya.

-- BERNAMA