Jumlah mangsa banjir di Changkat Jong dekat Teluk Intan berkurangan kepada 192 orang setakat ini berbanding 243 orang petang semalam.

Pegawai Jabatan Pertahanan Awam Daerah Hilir Perak, Mohd Fazly Mohamad Zawawi berkata, sebahagian daripada 243 orang mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan di Sekolah Kebangsaan Changkat Jong dibenarkan pulang, sejak petang ini.

"Hanya mangsa banjir yang mendiami Lorong Mesra di Batu 7 belum dibenarkan pulang dan masih ditempatkan di pusat pemindahan. Ini kerana banjir di penempatan itu belum surut," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata, kerja-kerja mengepam air keluar dari kawasan Lorong Mesra ke Sungai Bidor sedang dilakukan Jabatan Pengairan dan Saliran petang ini.

Paras air Sungai Bidor berhampiran kawasan yang terjejas juga turun kepada 2.88 meter berbanding 3.16 meter petang semalam, katanya.

Kejadian banjir itu adalah yang kedua melanda kawasan Changkat Jong dalam tempoh dua minggu selepas ban Sungai Bidor pecah akibat hujan lebat dan air melimpah ke kawasan penempatan.

Pada 14 November lepas, sebanyak 56 mangsa daripada 16 keluarga yang mendiami Lorong Mesra di sini terpaksa dipindahkan.