Ketika mangsa banjir di pusat penempatan sementara di Pulau Pinang menerima limpahan bantuan, lain pula nasib yang terpaksa dihadapi oleh sebahagian mangsa banjir yang tidak berpindah.

Penduduk dari Kampung Nyior Sebatang mendakwa ada dalam kalangan mereka diberitahu, bahawa mereka tidak dapat menerima bantuan kerana tidak ke pusat pemindahan.

Salah seorang penduduk, Rosmawati Hussin mendakwa, dia tidak dapat berpindah ke pusat pemindahan yang disediakan kerana pusat yang disediakan itu hampir penuh.

“Memang ada tapi payah nak pergi. Lagipun laluan ke tempat pemindahan terputus. Macam mana kereta hendak lalu?

“Kenapa tak boleh datang tengok mangsa? Pada Sabtu, air cuma naik sedikit, tapi sampai hari ini tak ada sesiapa beri bantuan. Jika adapun, diberi secara berasingan mengikut bahagian.

Kampung terkepung

Turut berdepan masalah sama, seorang penduduk yang hanya mahu dikenali dengan nama Tasya, memaklumkan keluarganya tidak mendapat bantuan sewajarnya dan berharap pihak berkaitan akan lebih peka dengan masalah mangsa yang bukan sengaja tidak mahu berpindah.

“Kami tidak dapat bantuan langsung kerana kampung kami terkepung. Tidak ada pengangkutan. Hanya lori besar yang boleh (mengharung banjir) untuk ke pusat pemindahan.

“Orang tua pula tak boleh (bergerak). Harap amanah (yang disalur) kepada JKKK dapat disampaikan kepada mangsa yang sebenar,” ujarnya.

Bagi seorang lagi mangsa banjir, Rosliza Yusof, dia dan keluarganya tidak berpindah ke pusat pemindahan dan tidak menerima bantuan kerana sudahpun mencuba mendaftar tetapi sudah tidak ada tempat.

Segera daftar

Sementara itu, Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) Datuk Abd Rashid Harun menasihatkan semua mangsa banjir yang tidak berpindah ke pusat pemindahan sementara banjir supaya segera mendaftar dengan Pejabat Daerah Dan Tanah didaerah masing-masing bagi memudahkan proses penyaluran bantuan.

Katanya, sukar untuk pihak berkaitan untuk menyalurkan bantuan jika tiada maklumat daripada mangsa kerana bantuan kebiasaannya tertumpu kepada mangsa yang berdaftar dan berpindah ke pusat pemindahan yang disediakan.

Mengulas lanjut, Abd Rashid berkata, bantuan berkaitan boleh disalurkan kepada semua mangsa dengan syarat mereka perlulah memaklumkan kepada pihak bertanggungjawab seperti pejabat daerah dan tanah serta jawatankuasa bencana.

Selaras bantuan

Katanya, segala bantuan dapat diselaraskan Pengerusi Jawatankuasa Bencana negeri sekiranya mereka mendapat maklumat daripada mangsa yang tidak berpindah seterusnya menguruskan menyelaras bantuan bagi mereka yang tidak berpindah.

“Jika mereka betul-betul tidak dapat berpindah disebabkan keadaan (tertentu), maka perlu laporkan juga (kepada) pegawai daerah dan pengerusi jawatankuasa bencana (agar boleh diberikan) bantuan. Kalau tak ada sesiapa maklumkan, maka akan tergendala.

“Kita tidak abaikan mangsa yang terperangkap di kawasan tertentu. JIka ada apa-apa, maklumkan pada pegawai daerah yang menyelaraskan (bantuan) mangsa,” ujar Abd Rashid.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai rungutan sebahagian besar mangsa banjir di Kampong Nyior Sebatang yang mendakwa mereka dipinggirkan dan tidak menerima bantuan selepas tidak berpindah ke pusat pemindahan yang disediakan.