Mayat seorang remaja dipercayai terjatuh ketika sedang mencedok air sungai di jeti Kem Sekerupuk dekat Nanga Entawau di sini, ditemui hari ini.

Remaja lelaki yang dikenali sebagai Bonnyface Boll Tonnyson, 18, ditemui jam 10 pagi berhampiran lokasi dimana mangsa dipercayai terjatuh.

Menurut Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kapit, Kapten (PA) Sulaiman Salama, pada kejadian Selasa, operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa tidak dapat dilakukan kerana jarak perjalanan dari Kapit ke lokasi kejadian memakan masa lebih empat jam melalui jalan air.

"SAR dilakukan hari ini dan mayatnya dijumpai tidak jauh dari lokasi kejadian," katanya.

Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

SAR melibatkan beberapa agensi termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, polis dan penduduk kampung.