Hanya kerana permintaannya untuk tidur di balai polis tidak dilayan, seorang pemuda bertindak agresif dengan mengamuk dan menyerang anggota di Balai Polis Bukit Payong, di sini awal pagi semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri ACP Wan Abd Aziz Wan Hamzah berkata dalam kejadian kira-kira pukul 4.40 pagi itu, lelaki berusia 30 tahun berkenaan datang bersama seorang rakannya ke balai tersebut.

Katanya suspek kemudian meminta kebenaran seorang anggota yang bertugas untuk tidur di balai atas alasan nyawanya terancam.

"Secara tiba-tiba suspek yang berasal dari Bukit Payong itu bertindak agresif dengan mengeluarkan kata-kata kesat dan menolak komputer di atas kaunter sehingga jatuh.

"Anggota berkenaan cuba menenangkan suspek namun dia terus bertindak liar dengan mengajak anggota tersebut bertumbuk dan meminta pistol milik anggota berkenaan sebelum suspek dan rakannya meninggalkan balai itu," katanya kepada pemberita di sini Isnin.

Menurutnya kira-kira pukul 7.30 pagi hari yang sama, suspek bersama empat lagi rakannya yang bersenjatakan satu parang, datang kembali ke balai berkenaan dan apabila terserempak dengan sepasukan polis, mereka bertindak memaki hamun dan mengajak bertumbuk.

Wan Abd Aziz berkata bimbang keadaan tidak terkawal, polis memberkas kelima-lima suspek berusia antara 23 dan 41 tahun itu.

Menurutnya, hasil ujian saringan air kencing ke atas semua suspek mendapati mereka bebas daripada pengaruh dadah dan tidak mempunyai sebarang rekod jenayah.

Polis turut merampas sebilah parang dan kesemua suspek yang berasal dari Marang itu direman selama empat hari bermula hari ini.

Abd Aziz berkata pihaknya sedang mengenal pasti motif utama kejadian itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 6 (1) Akta Bahan Letupan, Kakisan dan Senjata Berbahaya, Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah, Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana khianat dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil.

Sementara itu, di Kemaman, seorang wanita warga emas maut selepas terlibat dalam kemalangan membabitkan basikal dan kenderaan pacuan empat roda di Jalan Bukit Mentok-Tempurung, di sini, pagi Isnin.

Dalam kejadian kira-kira 8.15 pagi itu, mangsa Ramlah Abdullah, 71, dari Kampung Surau, Bukit Mentok meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital.

Insiden dipercayai berlaku selepas mangsa yang menunggang basikal secara tiba-tiba keluar simpang dari Sekolah Kebangsaan Bukit Mentok hingga pemandu Toyota Hilux yang berusia 47 tahun itu gagal mengelak lalu merempuh mangsa.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kemaman Supt Mohd Said Ibrahim ketika dihubungi Bernama mengesahkan kejadian tersebut dan menurutnya mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Kemaman untuk dibedah siasat.