SEKITAR 10 tahun lalu, timbul persoalan penting dalam konteks Politik Malaysia, iaitu “apakah makna sebuah kekuatan politik tanpa sokongan bukan Melayu?”.

Persoalan ini terjawab dengan langkah parti-parti politik mengambil pendekatan lebih inklusif dan terbuka. Paling ketara, Parti Islam Se-Malaysia (Pas) telah meneroka jalinan kerjasama secara agresif dengan kumpulan bukan Islam melalui platform Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP).

UMNO walaupun sebagai sebuah parti berteraskan politik Melayu, mempunyai sejarah yang panjang dengan parti bukan Melayu, seperti MCA dan MIC.

Bermula dengan Perikatan dan kemudiannya melalui Barisan Nasional (BN), UMNO meneraju politik kerjasama dengan parti bukan Melayu. Pakatan murni ini berjaya menjadi kerajaan sejak merdeka sehinggalah sebelum Pilihan Raya Umum ke-14.

Kemunculan pakatan parti politik melalui Barisan Alternatif (BA), Pakatan Rakyat (PR) dan Pakatan Harapan (PH) menjadi pemangkin kepada kepentingan sokongan bukan Melayu kepada Politik Melayu di negara ke tahap yang lebih tinggi.

Naratif politik kerjasama dalam PH misalnya meletakkan sokongan bukan Melayu sama penting dengan Politik Melayu, apatah lagi pakatan ini percaya semua parti adalah rakan setara sekaligus menolak konsep parti dominan seperti UMNO dalam BN.

Kini, persoalan lain pula timbul, iaitu “apakah makna sebuah kekuatan politik tanpa Politik Melayu?”.

Akhir-akhir ini, faktor dan sentimen Politik Melayu/Islam kembali mendapat tumpuan, khususnya selepas PRU-14 dan penubuhan kerajaan baharu. Ada pihak melihat hal ini satu perkara yang sangat dialu-alukan, manakala pihak lain cenderung menyorotnya sebagai situasi yang membimbangkan.

Apabila PAS menang besar dalam Pilihan Raya Umum 1999 dengan mengumpul 27 kerusi parlimen, Lim Kit Siang pernah menyatakan kegusarannya. Dalam hal ini, beliau bimbang bahawa Sidang Parlimen akan didominasi isu berkaitan Melayu dan Islam yang dibawa oleh Pas dan UMNO.

Kedua-dua parti didakwa akan berusaha menjuarai isu kepentingan Melayu/Islam dalam parlimen sekaligus meminggirkan kepentingan Malaysia secara inklusif. Hal ini menurut beliau, tidak ‘sihat’ dalam konteks masyarakat majmuk amalan Malaysia.

Keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Semenyih baru-baru ini dilihat melonjakkan kembali naratif politik Melayu/Islam. Sejurus selepas kekalahan PH, Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Azmin Ali membuat kenyataan bahawa agenda bumiputera mesti diligatkan tanpa apologetik.

Azmin dipetik sebagai berkata, "kita harus berani dan tidak gundah-gulana untuk segera melaksanakan janji-janji khususnya kepada masyarakat Melayu dan Bumiputera yang merupakan bahagian integral daripada agenda nasional. Kita akan melaksanakannya tanpa rasa apologetik atau bimbang terhadap kritikan luar."

Dalam perkembangan lebih awal misalnya, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mahu memperjuangkan satu dasar agenda bumiputera baharu bagi memajukan orang Melayu dan bumiputera di negara ini secara menyeluruh.

Malah sewaktu Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu Kali ke-2 Disember 2018, Bersatu memberi cadangan kepada Majlis Presiden PH supaya agenda bumiputera dijadikan sebagai dasar teras PH sekaligus diterima oleh kabinet untuk dijayakan sebagai satu agenda nasional.

Melihat kepada perkembangan semasa ini, sandaran kepada politik (Melayu/Islam) menjadikan ia sebagai identiti penting dalam politik Malaysia. Ura-ura cadangan untuk menggunakan satu logo antara UMNO dan PAS dalam pilihan raya umum ke-15 meyakinkan bahawa politik identiti masih lagi relevan malah mendapat tempat semula dalam naratif politik Malaysia.

Tidak dinafikan, wacana politik identiti ini bukan berlaku di Malaysia sahaja, tetapi negara jiran, Indonesia.

Di sebalik pengaruh liberalisasi, politik identiti di Indonesia kekal utuh. Islam sebagai teras politik identiti di Indonesia masih lagi relevan dan menjadi sentimen kuat pengundi yang majoriti beragama Islam.

Perkembangan ini sebenarnya ada kaitan dengan kesan globalisasi, iaitu membangkitkan kesan terbalik (counter productive) apabila beberapa pihak cuba mengekal dan mempertahan identiti masing-masing lantaran nilai sejagat semakin dipromosikan dalam masyarakat.

Pada hemat saya, politik identiti ada kebaikannya. Tulisan terbaharu Francis Fukuyama bertajuk Identity bersetuju bahawa politik identiti sentiasa wujud dalam pelbagai nama. Identiti bukan sahaja digunakan untuk memecah-belahkan, tetapi juga boleh menyatukan.

Politik berasaskan identiti sebagai mana ditulis Francis Fukuyama ada kebaikan dalam konteks pembentukan politik hari ini.

Dalam membincangkan isu yang penting ini, saya ingin menarik perhatian mengenai Seminar Politik Identitas di Malaysia dan Indonesia yang akan berlangsung di Jakarta 28 Mac ini, di mana saya turut sama diundang untuk membentangkan ucaptama.

Seminar berkenaan akan berlangsung di Universitas Ibnu Chaldun, Jakarta, di mana jangkaannya sudah pasti perkembangan terkini tentang politik identiti di Malaysia menjadi perkongsian dalam ucaptama tersebut selain mendengar kupasan isu yang sama di Indonesia oleh pembentang tempatan di sana.

Ternyata apa yang berlaku di Malaysia ada rumpunnya di Indonesia dan begitu sebaliknya.



* Penulis ialah Profesor Madya di Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM). Bidang kajian beliau adalah Politik Muslim dan Demokrasi.

** Pandangan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI.