Pergerakan Pemuda UMNO menyifatkan portal The Malaysian Insider (TMI) semakin biadab apabila melaporkan berita berunsur fitnah terutama melibatkan Majlis Raja-Raja Melayu.

Sehubungan itu, exconya, Ibdilillah Ishak berkata, tindakan TMI itu harus menerima akibat dan hukuman setimpal daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM).

"Kita mengecam sekeras-kerasnya laporan palsu portal pro-pembangkang TMI yang menerbitkan laporan kononnya Majlis Raja-Raja Melayu menolak cadangan meminda Akta dalam Perlembagaan Persekutuan terutamanya berhubung pelaksanaan hudud.

"Laporan TMI adalah satu bentuk provokasi fitnah jahat portal pro-DAP dan PKR untuk mencemar kemuliaan institusi kesultanan Melayu.

"Laporan palsu ini juga telah dinafikan oleh Penyimpan Mohor Raja-Raja tempoh hari," katanya semasa menghantar memorandum kepada SKMM di sini hari ini.

Memorandum diterima Pengarah Kanan Komunikasi Strategik SKMM, Sheikh Raffie Abd Rahman.

Tegas Ibdillah, TMI sememangnya terkenal kerana sering terlibat dalam penyebaran berita yang tidak benar dan berunsur penipuan.

"Di dalam isu ini, siapakah 'sumber' yang dimaksudkan TMI itu? Atau hanya sahaja ingin menimbulkan persepsi yang negatif terhadap Majlis Raja-Raja Melayu?

"TMI sering kali memohon maaf setelah melaporkan berita yang tidak benar. Adakah mereka mengamalkan prinsip 'damage control' selama ini?" katanya.

Jelasnya, kejadian itu sekali gus membuktikan laopran TMI selama ini penuh dengan penipuan sekali gus tidak benar.

"Kita desak SKMM mengambil tindakan seberat mungkin ke atas TMI segera.

"Kita menyokong kebebasan media, tetapi perlu diingatkan kebebasan punyai batas dan perlu bertanggungjawab," jelasnya.