Waris 15 anak kapal serta 12 dari 28 penumpang warga Malaysia pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17 layak menerima bayaran bulanan bermula RM475 berdasarkan tangga gaji di bawah skim Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Menteri Sumber Manusia, Datuk Richard Riot Jaem berkata kesemua anak kapal layak mendapat bayaran di bawah Skim Bencana Pekerjaan kerana berada di dalam pesawat waktu bekerja.

"Bagi 12 penumpang pula mereka telah mencarum dengan PERKESO dan layak mendapat sama ada Skim Bencana Pekerjaan jika semasa di dalam pesawat untuk urusan kerja atau Skim Pencen Ilat jika di dalam pesawat bukan untuk urusan kerja," katanya dalam sidang media di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Isnin.

Beliau berkata di bawah Skim Bencana Pekerjaan, jika mangsa memperoleh gaji bulanan RM3,000 dan ke atas mereka layak mendapat bayaran sehingga RM2,750 dan jika gaji bawah RM3,000 kadar harian minimum adalah RM30 sehari berdasarkan tangga gaji.

Katanya di bawah Skim Pencen Ilat pula waris atau tanggungannya layak mendapat 50 hingga 65 peratus daripada gaji bulanan dan jumlah minimum pembayaran RM475.

Riot berkata dua penumpang yang telah dipastikan sebagai layak menerima bayaran bulanan tersebut ialah Ariza Ghazalee yang bekerja di Lembaga Kemajuan Bintulu dan Meling Mula iaitu pekerja sebuah syarikat minyak dan gas yang berpangkalan di Kuala Lumpur dan bertugas di Venezuela.

"Manakala waris 10 penumpang lagi yang telah mencarum dengan PERKESO diharapkan dapat berhubung dengan MAS dan mengemukakan bukti supaya pihak PERKESO dapat menjalankan tugas dengan segera.

"Ini kerana ada beribu nama yang sama dengan mangsa dan hanya boleh dipastikan dengan nombor kad pengenalan sahaja," katanya.

Beliau berkata bayaran tersebut akan diterima serta merta selepas semua urusan selesai dan selain itu waris serta tanggungan mangsa turut layak mendapat faedah pengurusan mayat berjumlah RM1,500.

Pesawat MH17, yang membawa 283 penumpang dan 15 anak kapal, sedang dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur ketika ia terhempas di Donetsk, timur Ukraine, berdekatan sempadan Rusia pada Khamis.

Pihak berkuasa Ukraine percaya pesawat Boeing 777-200 itu ditembak jatuh namun sehingga kini tiada pihak yang tampil mengaku bertanggungjawab.