Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng sedia berdepan dengan tindakan saman Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abd Rahim yang didakwa menerima rasuah daripada Konsortium Zenith Sdn Bhd berhubung projek terowong dasar laut di negeri itu.

Beliau yang juga Setiausaha Agung DAP berkata, pihaknya sudah menerima surat tuntutan permohonan maaf daripada Abdul Azeez yang dihantar ke pejabatnya semalam namun menegaskan tidak akan memohon maaf.

"Saya sudah katakan sebelum ini, (kita) jumpa di mahkamah, dan untuk apa saya perlu mohon maaf? Beliau (Abdul Azeez) sepatutnya menghantar surat tuntutan kepada individu bertanggungjawab.

"Saya bagaimanapun tidak kisah, (kita) terus jumpa di mahkamah. Pihak kita hanya sebagai rujukan buat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)," katanya selepas melancarkan Portal Penang Alert di pejabatnya di Komtar pada Rabu.

BACA: "Azeez Rahim? Tolonglah..." - Guan Eng


Pada Selasa, Abdul Azeez memaklumkan beliau sudah menghantar surat tuntutan permohonan maaf ke pejabat Guan Eng berhubung dakwaan fitnah beliau menerima bayaran perundingan RM3 juta oleh pemaju projek terowong dasar laut Pulau Pinang.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu juga memberi tempoh empat hari kepada Guan Eng untuk memohon maaf secara terbuka, menarik balik kenyataan, berjanji untuk tidak mengulangi dakwaannya dan mendedahkan sumber maklumat mengenai surat peguam yang dihantar oleh Konsortium Zenith atau berdepan tindakan saman.

Pada 3 Mac lepas, peguam Zenith memohon maaf kepada Abdul Azeez berhubung tuduhan menerima rasuah RM3 juta selepas menyedari nama Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu dipergunakan kononnya boleh berunding dengan SPRM yang menyiasat kes pembinaan terowong tersebut.