Tindakan bakal Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim membetulkan kenyataannya yang mendakwa ada pemimpin tertentu menjanjikan projek kerajaan ketika kempen pemilihan parti nyata melegakan Ketua Wanita PKR Zuraida Kamaruddin.

Beliau berkata Anwar sepatutnya awal-awal lagi menjelaskan bahawa kenyataannya itu sekadar memberi amaran atau peringatan bagi mengelak salah faham.

“Betul (beliau) kata begitu. Alhamdullilah, semalam waktu saya tanya pada media, saya rasa Anwar sebagai ketua kenyataannya mungkin sebagai peringatan dan amaran.

“Sebab itu saya cakap tunjuk bukti kalau betul, beliau patut ambil tindakan. Kalau tidak Anwar perlu perjelaskan sebab kita tak mahu ada pihak rasa dianiayai atau sebagainya,” katanya kepada media di Banting pada Selasa.

Hari ini, Anwar yang juga calon Calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson memperbetulkan semula kenyataannya dengan menyatakan ia sekadar amaran dan peringatan.

Pada Ahad, Anwar mendakwa ada calon yang bertanding dalam pemilihan PKR kali ini menawarkan projek bagi mendapatkan sokongan dan undi daripada ahli parti.

Namun, bakal presiden PKR itu tidak mendedahkan pemimpin mana yang menawarkan projek bagi mendapatkan undi itu.

Zuraida dalam reaksinya semalam meminta ketua umum PKR itu memberikan bukti berhubung tuduhannya.