Program MyApprenticeship, yang dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini dijangka dapat menambah sejuta lagi peluang pekerjaan dalam bidang-bidang seperti automotif, pengkomputeran, termasuklah Revolusi Perindustrian Keempat atau IR4.10.

Najib, dalam ucapan perasmiannya berkata, ini merupakan tambahan kepada tiga juta peluang pekerjaan yang dijanjikan sewaktu pelancaran Manifesto Barisan Nasional (BN) pada 7 April lepas.

“Ternyata ini sungguh berbeza dengan manifesto pembangkang yang hanya sekadar menjanjikan satu juta sahaja peluang pekerjaan dalam tempoh lima tahun yang sama,” katanya sewaktu merasmikan Program MyApprenticeship di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Melalui program itu, Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Kewangan akan bertindak sebagai peneraju, dan satu juta peluang perantisan akan disediakan di sektor awam dan swasta, dengan sasaran mereka ialah golongan belia dan wanita di negara ini.

Perdana Menteri berkata, beliau yakin penyediaan tambahan sejuta lagi peluang pekerjaan itu dapat direalisasikan berdasarkan konteks dan kerangka ekonomi Malaysia yang semakin kukuh dan mantap.

“Salah satu daripada perkembangan termasuklah apabila Forum Ekonomi Dunia (WEF) baru-baru ini telah mengangkat Malaysia kepada dua anak tangga, dan kini kita berada di kedudukan ke-23 daripada 137 buah negara paling berdaya saing di persada global.

“Bang Dunia pada tahun lepas juga telah menaikkan unjuran ekonomi Malaysia sebanyak tiga kali, dan mereka telah menutup dengan jangkaan ekonomi kita berkembang pada kadar 5.8%. Dan meskipun diulangkaji sebanyak tiga kali, kita telah mengatasi unjuran tersebut apabila kita berjaya mencapa pertumbuhan sebanyak 5.9 peratus,” katanya lagi, selain menyebut tentang penarafan positif dari firma antarabangsa seperti Moody’s, Standard and Poor, dan Fitch yang meletakkan Malaysia pada kategori A.

Perdana Menteri juga berkata bahawa beliau telah dimaklumkan satu lagi perkhabaran gembira apabila Bursa Saham Malaysia hari ini telah mencecah paras yang tertinggi dalam sejarah.

“Ini semua menafikan dan menolak apa yang diwar-warkan oleh pembangkang kononnya Malaysia ini adalah negara bankrap atau failed state, mahupun perlu diselamatkan. Rekod pencapaian kita seperti ini bukan perlu diselamatkan, tapi kita perlu menyelamatkan negara kita daripada jatuh ke tangan mereka yang tergolong dalam kumpulan tersebut,” katanya lagi.

Mereka yang ingin mengetahui lebih lanjut mengenai program MyApprenticeship ini boleh melayari www.myapprenticeship.my, sebuah portal yang bertindak sebagai one stop platform dalam menyediakan maklumat mengenai peluang perantisan, peluang pekerjaan termasuk memadankan program perantisan dengan majikan yang bersesuaian mengikut bidang pekerjaan.